Kangar: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata rakyat negara ini tidak mudah tertipu dengan manifesto pakatan pembangkang yang hanya nampak menarik di atas kertas, tetapi tidak praktikal untuk dilaksanakan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, segala janji yang dibuat pembangkang melalui manifestonya tidak boleh dilaksanakan kerana boleh menyebabkan negara muflis.
Sebagai contoh, katanya, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri mengakui janji pakatan untuk menghapuskan tol tidak boleh dilaksanakan kerana ia akan menyebabkan beban kewangan yang besar kepada negara sehingga mengakibatkan ekonomi muflis.

Siapa tak suka hapuskan tol, pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), turunkan harga minyak, tetapi ia akan menyebabkan negara muflis,” Tan Sri Muhyiddin Yassin

“Manifesto pakatan pembangkang jika kita tengok sekali lalu macam menarik, tetapi jika dikaji dengan teliti dan objektif ia tidak boleh dilaksanakan.

“Pakar kewangan yang dibentuk melalui Kabinet yang diketuai Menteri Kewangan Kedua (Datuk Ahmad Husni Hanadzlah) sudah membuat kajian terperinci dan menunjukkan ia tidak boleh dilaksanakan, sekali pandang nampak okey.

Negara boleh muflis

“Siapa tak suka hapuskan tol, pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), turunkan harga minyak, tetapi ia akan menyebabkan negara muflis,” katanya kepada pemberita selepas meras-mikan penutupan Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) Ke-14 di sini, semalam.
Hadir sama, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Menteri Besar, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu; Pengerusi Perbadanan Nasional Bhd (PNB), Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dan Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

Muhyiddin berkata,, pakatan pembangkang hanya memasukkan janji manis dalam manifestonya tanpa melakukan kajian sama ada boleh dilaksanakan dan ia hanya gimik politik meraih populariti menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Defisit meningkat

Katanya, kadar defisit belanjawan negara juga akan meningkat sehingga 11 peratus jika manifesto pakatan pembangkang itu dilaksanakan, berbanding hanya sekitar 4.5 peratus ketika ini yang mana ia akan menyebabkan penarafan ekonomi negara jatuh dan kesannya pelabur akan lari.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri turut menjelaskan betapa pentingnya kestabilan politik, keamanan dan perpaduan kaum yang dinikmati di negara ini dikekalkan bagi membolehkan negara terus dibangunkan untuk mencapai status negara maju menjelang 2020.