Pagar Hidup
Tanaman hiasan ganti bahan binaan sebagai pemisah sempadan, ruang mesra alam

PAGAR biasanya dibina sebagai sempadan mengelilingi keluasan sesebuah kawasan kediaman. Namun, pagar juga dibina bagi memisahkan satu ruang dengan beberapa ruang yang lain dalam kawasan rumah itu.

Contohnya seperti memisahkan ruang laman atau taman dengan ruang lain seperti kolam renang, tempat meletak kereta dan sebagainya.
Pagar sering dibina menggunakan bahan seperti kayu, bata dan konkrit, buluh, besi dan sebagainya. Namun, pagar juga boleh dibina menggunakan pelbagai tanaman hiasan yang bersesuaian.


Sebahagian peminat seni taman akan memilih tanaman hiasan bersesuaian untuk dijadikan pagar kerana ia boleh memainkan peranan yang penting dalam membentuk struktur dan karektor kepada sesebuah taman itu.

Ini kerana, tumbuhan mempunyai tekstur serta warna yang menarik dan boleh diubah suai atau diubah bentuknya seperti dikehendaki. Bagaimanapun, sebagai makhluk Allah yang hidup, pertumbuhannya akan mengambil masa untuk tumbuh
matang.

Istimewanya pagar jenis ini ialah terdapat beberapa lagi kegunaannya yang praktikal seperti berikut:
1) Ia sesuai dijadikan penyerap bunyi bagi mengurangkan kebisingan dari aktiviti kota seperti lalu lintas kenderaan kerana dedaun pokoknya mampu menyerap kebisingan.

2) Ia juga sesuai sebagai penghadang daripada habuk dan debu jalan raya dan kawasan pembinaan berdekatan kerana dedaun pokok terutamanya yang bertekstur halus boleh memerangkap habuk yang terapung di udara apabila di tiup angin.

Ciri Pokok Pagaran

Berikut adalah beberapa ciri pokok pagaran yang sesuai dipilih:

1) Daunnya yang kecil dan senang di andam untuk membentuknya. Contohnya seperti pokok Acalypha siemensis atau pokok teh dan beberapa spesies pokok Ficus yang berdaun kecil.

2) Cabang dan pucuk barunya cepat tumbuh bagi memadatkan ruang lalu terbentuk struktur pagar yang cantik dan menarik.

3) Kebanyakan pokok yang digunakan perlulah dari jenis yang tahan lasak iaitu tidak memerlukan penjagaan yang rapi dan dapat hidup bertahan lama.

4) Pokok berkenaan mempamerkan ciri-ciri keistimewaannya yang tersendiri, seperti;
  • i) Daun pokoknya yang berubah warna apabila meningkat dewasa: Contohnya seperti Kelat Paya (Syzygium campanulatum) sangat cantik dijadikan sebagai pokok pagaran kerana dedaunnya sentiasa bertukar warna mengikut usianya. Selepas di pangkas tumbuh pucuk daunnya yang baru berwarna merah muda kemudian bertukar menjadi merah tua. Seterusnya ia akan bertukar menjadi ungu, hijau muda dan di akhiri dengan hijau tua.
  • ii) Pokok berbunga: Contohnya seperti Ixora atau siantan yang berbunga cantik. Manakala pokok bunga raya yang berdaun cantik berwarna keputihan (Variegated) dan pokok bunga kertas juga sesuai untuk dijadikan pokok pagaran.


5) Mudah Dibiakkan. Kebanyakan spesies pokok pagaran seperti di atas mudah dibiak atau ditanam menggunakan kaedah keratan batang.

Kaedah Mudah Pembinaan Pagar

1) Potong beberapa keratan batang atau ranting pokok berukuran kira-kira 4 inci panjang dan letakkan hormon penggalak akar di bahagian keratan bawah bagi mempercepatkan pertumbuhan akarnya

2) Semai dalam polibeg dengan menggunakan medium tanaman untuk pokok berpasu dalam campuran 3:2:1 (Tanah peroi: Bahan organik:Pasir sungai)

3) Siram dan letak di tempat teduh. Berikan penjagaan seperti siraman air dan pembajaan dengan menggunakan baja kimia atau organik seperti najis ayam.

4) Apabila keratan batang atau ranting yang disemai tadi telah tumbuh membesar pokok berkenaan bolehlah dipindahkan untuk ditanam di tapak pagar yang ingin dibina dalam jarak lebih kurang 1 kaki di antara satu pokok dengan pokok lain.