PENAMPANG: Presiden Parti Bersatu Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan mengulangi nasihat kepada rakyat di Sabah supaya membuat keputusan bijak pada Ahad ini bagi memastikan pemimpin berkaliber dan prihatin seperti Datuk Seri Najib Razak dapat terus meneraju negara.

Katanya, Najib selaku Perdana Menteri telah melakukan pelbagai transformasi termasuk menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat di Sabah sejak dahulu antaranya menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja berhubung isu pendatang tanpa izin.
"Ini menunjukkan Najib adalah pemimpin yang turun padang, mendengar keluhan rakyat Sabah dan boleh menerima cadangan atau teguran.

"Jangan lepaskan pemimpin seperti ini. *'A bird in the hand is better than two in the bush'," kata calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Keningau dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambunan itu semasa menyampaikan ceramah umum di sini, malam tadi.

*(Peribahasa Inggeris menyamai maksud "yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran")

Pairin berkata penubuhan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), penambahan pasukan keselamatan dan jentera serta tambahan tujuh balai polis baharu di timur Sabah juga adalah bukti kebijaksanaan Najib selaku 'doktor politik', untuk memastikan keselamatan rakyat terus terjamin.

Beliau seterusnya meminta rakyat yang masih berada "atas pagar" agar melihat perpaduan dalam kalangan pemimpin BN dan kekalutan dalam pakatan yang sering bertelagah pendapat sehinggakan siapa bakal perdana menteri juga belum diputuskan andai mereka menang pilihan raya ini.
Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) Tan Sri Bernard Giluk Dompok pula berkata tiada sebab untuk rakyat menukar kerajaan yang dipimpin seorang yang berpengalaman dan berpengetahuan hanya kerana ingin mencuba kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disifatkannya remaja belasan tahun dalam politik.

Menurut calon BN bagi kerusi Parlimen Penampang itu, kematangan Najib dalam mentadbir negara terserlah apabila memberi peluang pembangkang berdemonstrasi secara aman di kawasan tertutup, sekali gus menunjukkan sifat keterbukaan Najib untuk mendengar suara rakyat.

"Selain itu banyak lagi bantuan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia yang lebih baik daripada bantuan subsidi diesel kerana lebih ramai layak untuk menerimanya berbanding mereka yang hanya mempunyai lori dan bas," katanya.

Kata, adalah penting untuk semua rakyat di Sabah khususnya, memastikan BN kekal memerintah selepas hari pengundian 5 Mei ini agar program transformasi dan pembangunan di negeri itu ada kesinambungan. - BERNAMA