Ramai yang mengeluh kerana orang Melayu ketika itu tidak boleh dipisahkan dengan nasi, tetapi pendekatan yang diambil Pengarah ITM pertama, Tan Sri Arshad Ayub sekitar pertengahan 1960-an dan 1970-an berjaya membuktikan yang makanan ringkas penuh berkhasiat itu mampu menjadikan pelajar lebih cergas.
Demikianlah jawapan Arshad, 84, apabila ditanya mengenai tindakannya mengubah menu makanan di asrama ITM ketika beliau memegang jawatan sebagai Pengarah ITM pertama pada 1967 hingga 1975.
Arshad yang lebih dikenali sebagai Pak Chad dalam kalangan bekas penuntut ITM menukar menu makanan asrama pelajar daripada nasi kepada sandwich yang padat dengan sayur dan sumber protein seperti daging dan ikan.
Pro Canselor UiTM itu berkata beliau bukan sengaja mahu menukar menu, tetapi pengalamannya menimba ilmu di luar negara dengan hanya makan tengah hari sekadar mengalas perut dengan sandwich atau roti bakar berkeju, menjadikannya lebih bertenaga dan minda lebih cergas.
Saya mengambil kira banyak perkara, termasuk tempat memasak, dewan makan dan masa sangat terhad ketika itu, sebelum membuat keputusan menukar menu nasi kepada sandwich kerana ia lebih ringkas dan penuh khasiat. Kita perlu tahu tujuan makan untuk kenyang atau mendapatkan tenaga. Yang penting makanan disediakan mampu membina minda.
Justeru, pengambilan makanan bergoreng menyebabkan pelajar lebih mudah tidur dan minda tidak berapa cergas.
Masa yang diambil untuk makan nasi juga lebih lama berbanding sandwich yang ringkas dan boleh dimakan di mana-mana. Malah, dengan masakan Melayu, lazimnya banyak pembaziran berlaku tidak seperti sandwich selalu habis kerana ia ringkas, katanya.
Selain itu, katanya, beliau perlu mengambil kira yang kebanyakan pelajar ITM berasal dari luar bandar yang biasa makan nasi tiga kali sehari.
Jadi apabila masuk ITM mereka kena makan sandwich untuk makanan tengah hari, mula-mula memang tidak biasa tetapi lama kelamaan barulah mereka tahu ia lebih banyak manfaat, termasuk tidak mengantuk ketika dalam kelas kerana tidak terlalu kenyang, katanya.
Anak jati Muar, Johor itu yang dikenali sebagai pelopor pembangunan UiTM tidak pernah menganggap dirinya sebagai tunggak kejayaan UiTM sehingga kini, malah menyifatkan peranannya dalam UiTM hanyalah sebagai sebutir benih dalam segantang padi.
Berkali-kali beliau menegaskan yang kejayaan UiTM adalah hasil kerjasama semua pihak termasuk kepemimpinan, pensyarah, pensyarah sambilan, pelajar, kakitangan, jaringan industri dan agensi kerajaan.
Kerja berpasukan inilah yang menempatkan UiTM di tempatnya kini, dengan sokongan kerajaan Barisan Nasional yang berpaksikan UMNO dengan memperuntukkan RM1.6 bilion setiap tahun untuk institusi itu. Hubungan UMNO dan UiTM umpama air dicincang tidak akan putus, katanya.
