BINTULU: Parti pakatan DAP-Parti Keadilan Rakyat-Pas tidak akan dapat meniru konsep kongsi kuasa yang diamalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) sejak lebih 50 tahun lalu, kata Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.
Pengerusi BN Sarawak itu berkata, apa yang cuba dibuat pakatan pembangkang adalah membahagi kuasa seandainya mereka berjaya membentuk kerajaan.
"Membahagi kuasa dan berkongsi kuasa satu perkara yang berbeza. Dalam BN kongsi kuasa datang dahulu dengan matlamat yang jelas dan ia berbeza dengan pakatan pembangkang yang mahu berkongsi kuasa hanya selepas mereka mendapat mandat rakyat, ini tidak akan menjadi seperti yang dikatakan pada 16 September lalu," katanya ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan Tritahunan Parti Rakyat Sarawak (PRS) di sini hari ini.
Katanya, dalam BN, dasar kongsi kuasa amat jelas dengan kerjasama serta kesepakatan dalam segala rancangan serta wawasan dan visi yang dirancang oleh setiap komponen BN tanpa sebarang agenda untuk kepentingan sesuatu parti sahaja.
Taib berkata, setiap perancangan dalam BN untuk rakyat dibuat hasil daripada interaksi yang baik antara semua komponennya.
"Ramuan dasar inilah yang menjadikan kita (BN) dapat bersama hingga ke hari ini," katanya.
Ketua Menteri Sarawak itu berkata, tanpa komunikasi baik antara setiap komponen BN apa yang telah dirancang untuk negara dan rakyat tidak akan dapat dilaksanakan seperti hari ini.
Katanya, pakatan hanya mahu menjadi juara rakyat dangan hanya mengkritik apa yang telah kerajaan BN rancang untuk rakyat.
Sementara itu, Presiden PRS, Datuk Seri Dr James Jemut Masing, berkata PRS sebagai parti utama kawasan luar bandar perlu terus berjuang membela nasib rakyat luar bandar dan membawa mereka keluar daripada kepompong kemiskinan.
Katanya, dasar kongsi kuasa dalam BN telah banyak menguntungkan masyarakat luar bandar khasnya melalui beberapa dasar baru dalam pembangunan tanah hak adat bumiputera (NCR).
Masing berkata, PRS kini semakin mendapat sokongan rakyat dan ia terbukti selepas melalui dua pilihan raya dengan prestasi memberangsangkan iaitu pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 2006 memenangi sembilan kerusi DUN dan pilihan raya umum 2008 menang enam kerusi Parlimen.
"Cabaran utama kita dalam PRS hari ini adalah untuk sama-sama membawa masyarakat luar bandar khasnya masyarakat Dayak kepada cara pemikiran baru dan bukan hanya memikir kalau mahu makan... pergi sungai dan hutan untuk memburu," katanya.
Mengenai rancangan penggabungan PRS dengan Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) sebagai satu parti utama kawasan luar bandar, Masing berkata ia sebagai satu asas yang baik dalam memperjuangkan nasib masyarakat luar bandar di negeri ini.
Namun, katanya, ia tidak boleh dibuat secara terburu-buru kerana pengalaman lalu banyak mengajar pemimpin dalam PRS agar lebih berhati-hati dalam membuat keputusan. - Bernama