"PANAS betul bah ini hari. Macam tidak boleh tahan saya". Itu antara keluhan sempat singgah di telinga penulis ketika berada berhampiran sekumpulan penyokong sebuah parti yang mengiringi calon mereka di luar Dewan Masyarakat Sandakan, pagi semalam.
“Bagus lagi begini bah daripada hujan. Kalau hujan abis basahlah kita semua,” sampuk seorang rakannya sebelum mereka sama-sama bersorak membalas sorakan sebuah parti lawan yang memenuhi perkarangan pusat penamaan calon Parlimen Batu Sapi itu.
Seperti juga dua penyokong parti ini, kebanyakan yang hadir di perkarangan Dewan Masyarakat Sandakan turut berada dalam kepanasan akibat bahang terik matahari waktu pagi itu.
Namun keadaan itu tidak menghalang mereka terus kekal berada di situ sehingga proses penamaan selesai jam 11 pagi, sebelum bersurai dan beredar dari situ dalam keadaan aman.
Seperti diketahui, proses pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi yang bermula semalam sehingga 4 November ini bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Barisan Nasional (BN) dengan Parti Maju Sabah (SAPP) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
BN diwakili Naib Ketua Wanita Parti Bersatu Sabah (PBS) Datin Linda Tsen Thau Lin, manakala SAPP oleh Presidennya, Datuk Yong Teck Lee dan PKR oleh Ketua Cabang PKR Tuaran, Umsery @ Ansari Abdullah.
Apa yang menarik perhatian sekarang adakah pilihan raya kecil membabitkan tiga penjuru bakal panas sepanjang tempoh proses berkempen selama sembilan hari itu?
Berdasarkan maklum balas awal pemimpin dan pemerhati politik yang turut berkampung di bandar Sandakan sejak beberapa hari lalu, jawapan diterima tidaklah sekata.
Namun jawapan paling meyakinkan ialah daripada Pengerusi BN merangkap Ketua Umno Bahagian Batu Sapi, Datuk Samsudin Yahya.
“Tidaklah, tidak akan panas,” katanya dalam nada tegas sebaik diajukan soalan itu.
“Kita tahu calon PKR bukan datang dari Sandakan. Dia sudah lapan kali bertanding, tapi tidak pernah menang. Begitu juga Yong, saya anggap dia tidak lagi mengancam kerana Batu Sapi sejak dulu adalah kubu kuat BN,” katanya.
Nada dari kem Yong pula berbeza. Mereka yakin pilihan raya ini bakal memberi peluang kepada rakyat, khususnya pengundi di Parlimen Batu Sapi mendapat maklumat lengkap mengenai kelemahan kerajaan yang memerintah sekarang menerusi pembongkaran mereka.
“Kita akan berkempen untuk mengembalikan maruah dan autonomi rakyat Sabah. Kita akan bercakap isu yang kami sudah utarakan sebelum ini seperti isu pengangguran, kemiskinan, tanah, harga barang naik, setinggan dan janji kosong kerajaan,” kata Yong.
Bagi kem PKR pula, kenyataan yang dikeluarkan Ansari sejurus selepas penamaan calon selesai seolah-olah membayangkan parti itu tidak akan berkempen secara agresif, sebaliknya percaya pengundi di Parlimen Batu Sapi akan beralih angin menyokong parti itu.
Bagi mereka, tsunami politik yang melanda Pilihan Raya Umum 2008 dan kemenangan rakan pakatan mereka, DAP, pada pilihan raya kecil di Sibu sebelum ini akan turut berlaku di Batu Sapi.
“Sama ada kita menang atau tidak pada pilihan raya kali ini, kita serahkan kepada Tuhan dan semua pengundi. Kita bukan pengganggu pilihan raya, tetapi untuk memenangi pertarungan antara Pakatan Pembangkang dan BN,” katanya.
Apapun, sama ada panas atau sebaliknya, penduduk Sandakan termasuk dua sahabat yang berada di perkarangan Dewan Masyarakat Sandakan pagi semalam, akan tetap merasai bahang pilihan raya kecil Batu Sapi sehingga 4 November ini.