Panel hiasan laman BH Online

Panel hiasan laman

Oleh Rohaniza Idris
roha@bharian.com.my
2010/06/20

Koleksi paparan alam, moden jadi pilihan ramai hiasi ruang luar mahu pun dalaman rumah

LAMAN berkonsep Bali sering dilabelkan sebagai penataan hias yang penuh misteri dan seri 'lapuk' walaupun kebanyakan hiasan yang ditampilkan mengetengahkan keunikan flora dan fauna.

Hakikatnya, konsep Bali bukan hanya tertakluk kepada hiasan klasik dengan motif misteri tetapi turut menampilkan elemen moden sesuai tuntutan masyarakat yang lebih mementingkan hiasan abstrak serta imej tiga dimensi (3D).

Perkara itu diakui pemilik dan pengasas Tiara Bali Concept, Francis Chan yang berpendapat konsep Bali tidak akan lenyap dan akan terus malar segar mengikut peredaran zaman.

Beliau yang lebih 10 tahun mengusahakan jualan produk hiasan berkonsepkan bali dan tropika berkata, biasanya peminat seni hias laman yang lebih berusia sukakan motif dan hiasan Bali klasik manakala generasi muda sukakan yang lebih segar, motif abstrak serta seni serta menampilkan imej serta identiti diri masing-masing.

“Saya melihat perkembangan hiasan berkonsepkan Bali ini lebih 10 tahun lalu dan ia tetap diminati walaupun ramai kini yang beralih kepada konsep nusantara dan tropika. Permintaan terhadap konsep Bali terus bertambah dan kini ramai yang beralih menggunakan hiasan untuk ruang luar dan dalam kediaman secara minimum bukannya berlebihan,” katanya.

Kini, beliau mengakui ramai yang memilih panel seramik dan batu untuk dijadikan hiasan dinding, pagar dan tembok kediaman. Selain corak flora dan fauna, kini ramai yang memilih corak moden dan abstrak.

Beliau berkata, semua panel seramik dan batu pasir, diimport dari Bali dengan tawaran harga lebih murah serta lebih tahan lama berbanding panel konkrit yang cepat pecah serta berlumut.

“Terbaru, kita menjual panel menampilkan imej tiga dimensi. Setakat ini, permintaan sangat menggalakkan. Motif flora masih tetap menjadi pilihan tetapi coraknya kini dipermodenkan sesuai selera pengguna masa kini.

“Antara motif flora yang biasa ditampilkan adalah corak bunga teratai, kemboja, kiambang dan heliconia, manakala corak tradisional Bali tetap menjadi pilihan bagi mereka yang menggemari konsep Bali klasik.

“Bagi motif moden, peminat sukakan hiasan bunga campuran, halia tepi tingkap, heliconia baru, buluh, keladi, pucuk paku dan bunga raya. Terkini motif berbentuk ombak diminati ramai,” katanya.

Beliau berkata, bagi peminat hiasan laman bukan Islam, mereka sukakan motif fauna serta ikan seperti naga, gajah, katak, pepatung dan ikan emas, selain patung Bali yang menggambarkan imej dewa-dewa mereka.

“Dijual dalam pelbagai saiz mengikut permintaan pengguna, kami juga menjual panel yang besar untuk dinding kediaman. Menariknya setiap satu motif panel dijual secara terhad sekurang-kurangnya 20 set setiap satu. Ini bermakna, setiap motif yang dihasilkan adalah eksklusif.

“Malah, sesetengah panel kita hasilkan hanya dalam 10 set saja. Apabila aliran motif berkenaan semakin digemari maka kita akan hentikan pengeluarannya supaya ia menjadi hiasan eksklusif untuk pelanggan kita,” katanya.

Tiara Bali Concept turut menerima tempahan pelanggan mengikut reka bentuk, motif dan saiz panel yang diinginkan. Malah, menerima tempatan panel seramik dan batu pasir untuk papan tanda kediaman dan plak nombor rumah.

Francis menjelaskan, peminat konsep Bali juga menggantikan lukisan dalam kediaman mereka dengan panel seramik dan batu pasir kerana harganya lebih mudah selain ia nampak lebih berseni dengan ciri eksotik serta ekslusif.

“Berbanding lukisan, panel dengan motif flora dan fauna nampak lebih segar dan hidup. Namun, ia bergantung kepada cara bagaimana pemilik kediaman menggunakan hiasan berkenaan,” katanya.

INFO: Ciri laman konsep Bali

  • Ciri paling penting dalam laman konsep Bali adalah tumbuhan. Biasanya, tumbuhan dalam laman Bali memiliki ciri keunikan dan klasik seperti pucuk paku, kemboja, heliconia dan alocasia. Memandangkan Bali terletak di kawasan tropika, mana-mana tumbuhan tropika sesuai untuk laman ini.

  • Elemen pergerakan air mesti ada dalam setiap laman konsep Bali. Ini kerana a* liran dan titisan air melambangkan kesejahteraan dan kedamaian.

  • Ciri ketiga yang mesti ada dalam laman konsep Bali adalah arca atau patung. Sekurang-kurangnya perlu ada satu arca atau patung dalam laman konsep ini. Asalnya, arca dan patung ini melambangkan kecintaan kepada dewa-dewa dan ketuhanan kerana penduduk asal Bali mengamalkan agama Hindu dan Buddha. Namun, untuk zaman moden, patung-patung itu digantikan dengan arca berbentuk haiwan seperti gajah, harimau, ikan, pepatung dan rama-rama. Kini, ramai yang menggunakan hiasan seperti pasu, tempayan, terendak lampu dan arca corak abstrak menggantikan penggunaan patung.

  • Elemen tambahan dalam laman konsep Bali adalah batu-batuan untuk laluan di sepanjang laman. Bagaimanapun, batu yang biasa digunakan adalah batu sungai dan batu pasir dengan warna-warna semula jadi, lapuk dan gelap. Ramai yang memilik menggunakan batu lava kerana ia begitu sinonim dengan Bali.