gambar sebelum  gambar berikut
Foto

Foto

Foto

Foto

Foto

PEKERJA sebuah kilang pakaian di Jalan Sungai Pinang, Pulau Pinang diarah keluar oleh pihak pengurusan selepas merasai gegaran kuat, semalam.

Gempa bumi di Aceh, semalam, menyebabkan penduduk di beberapa negara merasai gegaran lari menyelamatkan diri

KUALA LUMPUR: Ribuan rakyat Malaysia terutama yang tinggal di bangunan tinggi dan kawasan Pantai Barat Semenanjung merasai gegaran kuat berikutan kejadian gempa bumi berukuran 8.7 pada skala Richter di Aceh, Sumatera Utara, pada jam 4.38 petang semalam.
Kira-kira dua jam kemudian, penduduk turut dikejutkan dengan gempa susulan pada jam 6.43 petang yang berukuran 8.5 pada skala Richter.


Kedua-dua kejadian itu menyebabkan penduduk merasai gegaran berterusan hampir satu minit, dan gegaran lebih kuat dialami penduduk di Perlis, Langkawi, Kedah, Pulau Pinang dan Perak. Malah, penghuni bangunan tinggi dan hotel di sepanjang pantai peranginan di Batu Feringgi dan Pulau Langkawi diarah keluar dan berlindung di kawasan tanah tinggi berikutan kebimbangan berlaku tsunami.

Pesakit di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Pahang dipindahkan ke wad pesakit luar, manakala di Hospital Selayang, Selangor yang turut merasai gegaran diminta supaya tidak panik dan ada yang mengambil langkah berjaga-jaga apabila keluar dari bangunan hospital berkenaan.

Majlis Keselamatan Negara Kedah mengarahkan semua penduduk di pesisir pantai Kedah terutama Langkawi dan Kuala Muda bersiap sedia untuk meninggalkan kediaman masing-masing.

Timbalan Ketua Pengarah (Ramalan), Jabatan Meteorologi Malaysia, Che Gayah Ismail, berkata setakat jam 10 malam tadi, nasihat supaya rakyat menjauhi kawasan pantai ditamatkan.
“Situasi yang semakin reda terutama di sekitar Indonesia membolehkan kita menarik balik nasihat itu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Sebaik tsunami berlaku petang semalam, jabatan itu mengeluarkan nasihat berkenaan yang wajar dipatuhi bagi memastikan tiada kejadian tidak diingini berlaku.

Che Gayah berkata, hasil pemantauan yang dijalankan, ombak setinggi 0.3 meter dikesan berlaku di Sabang, Aceh iaitu susulan kejadian gempa bumi pertama dan menurun kepada hanya 0.06 meter selepas gempa susulan.

Pada 26 Disember 2004, gempa bumi berukuran 9.1 skala Richter di kawasan sama mengakibatkan tsunami mengorbankan 170,000 penduduk Aceh, selain 60,000 penduduk di India, Sri Lanka, Thailand dan Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Hassan Abd Rahman, berkata hanya dua hospital iaitu Hospital Selayang dan Hospital Tengku Ampuan Afzan merasai gegaran akibat gempa bumi, petang semalam.

“Pihak Hospital Selayang menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk memeriksa jika berlaku kebocoran gas, manakala di Hospital Tengku Ampuan Afzan pula, sebahagian pesakit dipindahkan ke wad pesakit luar,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Wan Mohd Noor Ibrahim, berkata pihaknya menerima 83 panggilan di seluruh negara berhubung gegaran dialami.

Katanya, Pulau Pinang mencatatkan paling tinggi iaitu 35 panggilan diikuti masing-masing Kuala Lumpur dan Kedah iaitu 12 panggilan. Jentera bomba turut ke lokasi kejadian untuk pemeriksaan lanjut.

“Kebanyakan panggilan diterima daripada mereka yang tinggal di bangunan tinggi. Semua anggota dan jentera bomba di seluruh negara kini diletakkan dalam berjaga-jaga,” katanya.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khirudin Drahman @ Hussaini, berkata pihaknya menjalankan pemeriksaan ke semua bangunan yang merasai gegaran sejurus menerima laporan berhubung kejadian itu, bermula jam 4.47 petang di Wangsa Maju.


Gempa bumi Aceh imbau tragedi tsunami 2004

KUALA LUMPUR: Gempa bumi 8.7 skala Richter yang melanda di pantai Aceh petang semalam, membawa kepada kenangan pahit tragedi gempa bumi melanda wilayah sama pada Disember 2004 yang mengorbankan 230,000 nyawa, manakala 500,000 kehilangan tempat tinggal.

Gempa bumi berukuran 9.1 skala Richter pada 26 Disember 2004, mencetuskan tsunami yang mengorbankan 170,000 penduduk Aceh, selain 60,000 penduduk di India, Sri Lanka, Thailand dan Malaysia.

Dalam kejadian itu, beberapa bandar utama di wilayah Sumatera Utara turut musnah selepas ombak tsunami setinggi sembilan meter ‘menyapu’ hampir bersih Banda Aceh, Calang dan Meulaboh kesan daripada gempa yang melanda Lautan Hindi.

Indonesia adalah satu-satunya negara yang paling teruk menerima kesan bencana itu, selain Sri Lanka, Thailand, India dan Malaysia.

Gempa bumi itu disifatkan kedua paling hebat dalam sejarah manusia serta kekuatannya dikatakan 1,500 kali lebih hebat daripada kekuatan bom atom yang memusnahkan Hiroshima, Jepun yang turut membunuh ratusan ribu manusia pada Perang Dunia Kedua.

Berbeza dengan tempat lain, Aceh ketika ini bukan saja menerima kesan akibat tsunami tetapi gempa bumi yang dahsyat sebelumnya ekoran pusat gempa yang berada tidak jauh dari wilayah berkenaan.

Sebelum bencana itu, Banda Aceh mempunyai kira-kira setengah juta penduduk dan kini jumlah penduduknya dianggarkan 300,000 orang saja.

Selain Aceh, kawasan berdekatan iaitu Pulau Nias dan Pulau Simeulue turut dilanda gempa bumi berukuran 8.7 skala Richter pada 26 Mac 2005 yang mengorbankan hampir 1,000 nyawa, genap tiga bulan selepas tragedi yang menimpa Aceh.

Aceh kini sedang dalam proses pembangunan semula selepas mengalami banyak kemusnahan prasarana hasil bantuan masyarakat antarabangsa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).