Pembangkang tiada kata sepakat, ada unsur nepotisme

Tanjung Karang: Selangor kini menjadi tumpuan 'parasit politik' yang sudah ditolak rakyat negeri lain, kata Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar.
Katanya, kedatangan mereka itu yang sebelum ini bertanding di luar Selangor juga memberi gambaran pakatan pembangkang tidak mempunyai anak tempatan berkaliber untuk diletak sebagai calon.
Sudah tiba masanya rakyat di Selangor membuka mata mereka melihat wujudnya istilah yang boleh dikatakan lebih dari unsur kronisme iaitu nepotisme” Noh Omar, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor

Beliau berkata, jika dulu ada khabar angin menyatakan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu bertanding di Selangor, kini isterinya merangkap Presiden parti itu, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pula mahu mencuba nasib di negeri ini.

“Nampaknya seluruh ahli keluarga mereka akan memenuhi Selangor dan sudah tiba masanya rakyat di Selangor membuka mata mereka melihat wujudnya istilah yang boleh dikatakan lebih dari unsur kronisme iaitu nepotisme,” katanya kepada pemberita, semalam.

Jumaat lalu, akhbar melaporkan, Dr Wan Azizah mengakui ada kemungkinan beliau akan bertanding merebut kerusi DUN di Selangor pada PRU-13.

Wan Azizah bagaimanapun berkata, setakat ini belum ada kata putus di mana beliau akan bertanding kerana parti masih mengadakan perbincangan lanjut mengenai perkara itu.
Noh berkata, Selangor menjadi kuat hasil usaha gigih rakyat Selangor dan selepas Selangor menjadi maju, ramai pihak yang ingin menumpang kejayaan negeri ini.

Lokasi panas

“Nampaknya Selangor akan menjadi lokasi ‘panas’ pembangkang kerana mungkin di negeri lain mereka tidak mempunyai kekuatan lagi dan saya berharap semua rakyat Selangor bersama-sama mempertahankan negeri ini dan membuka mata untuk melihat kerakusan mereka untuk menakluk Selangor dan mengutamakan kuasa politik semata-mata,” katanya.

Pada masa sama, katanya, pakatan pembangkang di Selangor dilihat belum mempunyai calon yang layak menjadi Menteri Besar kerana mereka masih belum menetapkan siapa yang akan dilantik menjadi Menteri Besar sekiranya berjaya mengekalkan kedudukan mereka di Selangor pada PRU-13 nanti.

Kenyataan berdolak-dalih

Noh berkata, ia berikutan pelbagai kenyataan yang berdolak-dalih kepemimpinan pakatan pembangkang termasuk kenyataan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang menyatakan Dr Wan Azizah juga boleh memegang jawatan berkenaan.

“Sekiranya Barisan Nasional (BN) memenangi PRU bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, kami akan memastikan pemimpin yang amat layak dan banyak berjasa kepada Selangor (dilantik ke jawatan itu).

“Nampaknya kepemimpinan pakatan pembangkang di Selangor seolah-olah tidak sehaluan kerana kenyataan beberapa pemimpin yang mengelirukan seperti kenyataan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali yang inginkan Abdul Khalid bertanding di kerusi Parlimen saja, dan hari ini pula Abdul Khalid berkata Wan Azizah pun boleh menjadi Menteri Besar Selangor,” katanya.

Noh berkata, beliau yakin Abdul Khalid kini tersepit akibat kemelut politik Mohamed Azmin.

“Pakatan pembangkang masih belum tentu menang dalam PRU nanti tetapi nampaknya sudah ada perselisihan pendapat sesama mereka. Kita berharap rakyat Selangor sedar bahawa pakatan pembangkang mengutamakan parti dan perebutan kuasa politik semata-mata serta tidak mengutamakan rakyat,” katanya.