Parti Islam tak dijamin laksana tuntutan syariah
Kuala Lumpur: Parti politik yang menggunakan nama Islam tidak menjamin akan melaksanakan atau berupaya melaksanakan tuntutan Islam, kata pendakwah, Datuk Mohd Nakhaie Ahmad.
Apatah lagi, katanya, dalam kecelaruan hubungan kerjasama dengan rakan politik berkepentingan yang bukan Islam, semakin mustahil parti berlabel Islam memastikan setiap dijalankan berteraskan ajaran Islam.
Hanya retorik
“Sebagai umat Islam, kita wajib memilih pemimpin yang bukan saja mengakui mendukung perjuangan Islam tetapi menzahirkan tuntutan Islam itu dengan bijaksana dan bermanfaat kepada rakyat dan negara. Kita kena pastikan ia benar-benar dilaksanakan dan tidak hanya retorik, kononnya memperjuangkan Islam tetapi cakap kosong,” katanya.
Mengulas sama ada penggunaan nama Islam pada parti politik menjamin tuntutan Islam dilaksanakan parti itu, beliau yang juga bekas Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), berkata parti politik menggunakan nama Islam tidak menjamin apa dilaksanakan berteraskan Islam.
“Bersederhana dalam serba serbi lebih utama daripada bercakap mengenai Islam berdegar-degar, tetapi tiada apa pun dilaksanakan. Alasan diberi kononnya tiada kuasa melaksanakan tuntutan Islam, tak dapat kita terima terutama apabila sudah memerintah negeri,” bidas Nakhaie.
Agenda Kerajaan Pusat
Pengerusi Pertubuhan Persahabatan Dakwah Global itu, berkata kerajaan Pusat telah banyak melaksanakan pelbagai agenda dituntut Islam, namun tidak dilabelkan dengan jenama Islam, contohnya membina universiti, sekolah, air, elektrik, rumah, masjid, surau dan jalan untuk keselesaan rakyat yang menjadi fardu kifayah.
Tuntutan fardu kifayah itu banyak yang tidak difahami umat Islam, katanya, sambil menambah bahawa pembangkang pula melabelkan semua perkara dengan jenama Islam seperti kononnya maki hamun pun dibenarkan Islam serta bermusuhan juga dibenarkan Islam.
Usah dipengaruhi penampilan
Mohd Nakhaie yang pernah menjadi Naib Presiden PAS tetapi akhirnya keluar parti, berkata tidak semestinya seseorang yang nampak salih sesuai dipilih untuk menjadi pemerintah jika tidak berupaya dalam bidang pentadbiran, cekap menjana dan membangunkan ekonomi serta menjaga keselamatan negara.