Pasangan belia berkahwin dapat RM1,000

Pasangan belia berkahwin dapat RM1,000

2013/04/05

Kuala terengganu: Barisan Nasional (BN) negeri akan memberi imbuhan RM1,000 kepada pasangan belia yang melangsungkan perkahwinan jika memenangi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Yahya Khatib Mohamad, berkata ibu bapa yang menimang cahaya mata pertama pula akan mendapat wang tunai RM500.

Katanya, cadangan itu sebahagian daripada manifesto tambahan BN Terengganu.

Bantuan Aidilfitri dinaikkan

Beliau berkata, BN negeri juga akan menaikkan bantuan am kepada penerima dan dana Hari Raya termasuk dana remaja jika parti itu memenangi PRU-13.

“Kadar bantuan am Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri akan dinaikkan daripada kadar biasa iaitu antara RM200 hingga RM450 bergantung kepada kemampuan kewangan negeri.

“Kadar dana hari raya dan dana remaja yang mula diperkenalkan BN sejak 2009 juga akan dinaikkan dengan syarat BN perlu menang,” katanya selepas menyampaikan dana pendahuluan nafkah anak Jabatan Kehakiman Syariah, di sini, semalam.

Pada majlis itu, seramai 14 ibu tunggal menerima dana pendahuluan nafkah berjumlah RM25,530.

Beliau berkata, penduduk yang berpendapatan kurang daripada RM2,000 sebulan akan menerima antara RM200 hingga RM400 bergantung kepada anggota keluarga.