Petaling Jaya: Sepasang suami isteri mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini semalam, atas tuduhan mendera anak saudara perempuan mereka berusia dua tahun sembilan bulan sehingga koma.

Dera di rumah
Pemandu lori, Mohd Nasir Majid, 36 dan suri rumah, Zarinah Ab Hadhy, 30, dituduh melakukan penderaan fizikal terhadap kanak-kanak itu di rumah mereka di Damansara Damai, di sini, di antara 14 dan 27 Oktober lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda RM20,000 jika sabit kesalahan.

Lantik peguam

Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid menetapkan 30 Januari depan untuk menjatuhkan hukuman bagi memberi peluang kepada pasangan terbabit melantik peguam untuk mengemukakan rayuan bagi meringankan hukuman.

Ahmad Solihin turut membenarkan setiap tertuduh dijamin RM8,000 dengan seorang penjamin.
Mengikut fakta kes, kanak-kanak perempuan itu dijaga selama sebulan oleh kedua-dua tertuduh, yang juga ibu dan bapa saudaranya.

Namun pada hari kejadian, Mohd Nasir menghubungi bapa mangsa dan memaklumkan anaknya dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh di sini, selepas pengsan kerana sawan.

Bapa lapor polis

Bagaimanapun, bapa kanak-kanak itu terkejut apabila doktor yang memeriksa anaknya memaklumkan terdapat kecederaan fizikal dipercayai didera. Lelaki itu kemudian membuat laporan polis.

Pendakwaan kes dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aifaa Che Abdullah manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.