Peguam muda mahu suntik semangat baru kepada penduduk Air Itam

Peguam muda mahu suntik semangat baru kepada penduduk Air Itam

2013/04/17

GEORGETOWN: Calon termuda Barisan Nasional (BN) di Pulau Pinang, Loo Jieh Sheng menyifatkan pemilihannya sebagai calon untuk bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Itam adalah sebagai usaha BN untuk menyuntik semangat baharu kepada rakyat di kawasan terbabit.

Beliau berkata, ini kerana rakyat di Air Itam telah bosan dengan wakil rakyat DAP yang dianggap tidak mesra rakyat dan sibuk berpolitik.

"Antara faktor saya terpilih adalah kerana saya muda dan bertenaga, mudah mesra dan senang berurusan dengan orang ramai," katanya kepada Bernama.

Loo, 31, seorang peguam dijangka mencabar penyandang kerusi tersebut Wong Hon Wai dari DAP.

Beliau juga merupakan Pembantu Khas kepada Pengerusi BN Pulau Pinang, Teng Chang Yeow.

"Air Itam tidak asing bagi saya kerana saya dulu belajar di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chung Ling," katanya.

Loo berkata jika beliau menang, beliau akan berusaha membawa perubahan dengan menyelesaikan masalah rakyat setempat. - BERNAMA