Mohd Kamal Saidin
UMNO kalah bukan kerana pembangkang kuat tapi gaduh sesama ahli
PEJUANG UMNO sejati tidak akan sesekali meminta atau melobi untuk dipilih sebagai pemimpin, sebaliknya menyerahkan kepada rakyat untuk memilih.
Sifat murni itu mesti dipupuk semula di kalangan pemimpin parti yang dilihat semakin hanyut dan ghairah berebut jawatan hingga sanggup bersengketa sesama sendiri.
Pencadang usul agama, pendidikan dan sosial, Mohd Kamal Saidin, berkata faktor itu dilihat antara punca menyebabkan UMNO semakin lemah dan ia perlu dibaiki segera.
“Kalau itu puncanya, kita mesti cari jalan keluar. Apabila Presiden sebut soal calon boleh menang, kita perlu lihat dalam konteks Islam iaitu tidak meminta, tidak melobi, tidak membeli jawatan, bertanggungjawab, jujur, amanah dan penuh sifat kasih sayang.
“Hari ini kita berbalah kerana nak jadi calon. Dulu ketika era 80-an, kita kuat kerana pemimpin berebut tolak tawaran jadi pemimpin, sekarang mereka berebut nak jadi calon. Itulah menyebabkan kita lemah. Biar rakyat pilih pemimpin, bukan kita buat keputusan,” katanya.
Sambil turut mengusulkan 10 kaedah yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan dalam membantu orang Melayu, beliau berkata, UMNO yang banyak melakukan pembangunan kalah pada pilihan raya lalu bukan kerana pembangkang kuat, sebaliknya akibat sengketa sesama sendiri dan kurang aktiviti penerangan kepada rakyat.
“Kita kena fikir dan usahakan bagaimana nak lahirkan pejuang UMNO, bukan sekadar menjadi ahli, isi borang dan dapatkan projek. Itu yang kita bimbang kerana mereka sokong kerana duit... bila tak dapat, mereka tak sokong.
“Dalam politik sekarang, kita sudah ada petanda jelas. Biarkan pembangkang buat banyak kesilapan, itu bagus untuk UMNO. Kita kena kaji kenapa Mat Sabu (Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu) tak ditangkap kerana mengiktiraf pemimpin komunis, Mat Indera sebagai pejuang.
“Kalau dia ditangkap dan duduk dalam (penjara), dia tak boleh buat silap lagi. Biar rakyat menilai akibat kesilapan Mat Sabu itu. Sejak kes itu, hampir 7,000 ahli PAS dan Keadilan (Parti Keadilan Rakyat) keluar parti,” kata perwakilan dari Kedah itu.
Katanya, apa yang perlu dilakukan ialah meningkatkan penerangan kepada rakyat, menangkis segala fitnah dan dakyah memburukkan UMNO seterusnya menerangkan segala perancangan kerajaan membela rakyat.
Beliau berkata, rakyat perlu sedar bagaimana PAS yang dulunya sering menggelar orang UMNO kafir kerana bekerjasama dengan parti bukan Islam, kini terpaksa menelan ludah sendiri selepas terperangkap dengan mainan politik DAP.
INFO: Usul Agama, Pendidikan dan SosialMenyokong ketetapan wasatiyyah dalam amalan demokrasi dan hak indvidu dengan menolak amalan songsang dan melampau
Saranan melakukan transformasi dakwah bersifat universal
Menerapkan nilai murni Islam pada peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi
Meningkatkan usaha penyatuan ummah tanpa noktah atau perbezaan politik dan bangsa
Memperkasakan instrumen kewangan, pembangunan aset serta pengurusan sistem kewangan Islam dan menjadikan Malaysia sebagai hab Islam
Menggandakan usaha kecemerlangan bidang pendidikan untuk melahirkan modal insan secara holistik dan berdikari
Menyokong Kementerian Pelajaran memartabatkan Bahasa Malaysia dan mengukuhkan Bahasa Inggeris
Menjadikan pendidikan teknik dan vokasional sebagai pendidikan perdana di peringkat menengah rendah
Mendesak kerajaan terus membantu sistem pendidikan Islam dan sekolah agama supaya mampu bersaing dalam akademik dan membentuk jati diri
Menyokong hasrat kerajaan mendampingi orang muda secara berterusan dan menyokong Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).
Untuk berita lanjut dan laporan Perhimpunan Agung UMNO 2011, dapatkan akhbar Berita Harian hari ini.