gambar sebelum  gambar berikut
Foto

BANJIR di Pekan Kajang.

Foto

PENIAGA Kedai Gambar dan Telefon Bimbit, Ho Choon Kit cuba menyelamatkan barang-barang dalam kedainya pada dalam banjir kilat di pekan Salak Selatan petang, semalam.

Foto

KEADAAN di Stesen LRT Masjid Jamek sesak berikutan masalah teknikal yang dihadapi oleh pihak LRT akibat dari hujan lebat menyebabkan operasi tergendala hampir sejam.

Jabatan Meteorologi keluar amaran peringkat jingga untuk Kuala Lumpur, Selangor

KAJANG: Banjir kilat melanda tengah bandar ini selepas hujan lebat tanpa henti selama lebih dua jam bermula lewat tengah hari, menyebabkan air naik sehingga paras lutut bermula di Pasar Kajang dekat Jalan Bukit dan sekitar pusat tumpuan ramai di Jalan Tun Abdul Aziz, semalam.

Peniaga dan pengunjung yang ditemui berkata, paras air naik secara tiba-tiba selepas satu jam hujan lebat bermula jam 1.30 petang, dipercayai dibawa arus dari arah kawasan Pasar Kajang setinggi paras lutut sebelum memenuhi sekitar pusat beli-belah Plaza Metro.
Bagaimanapun, air mula surut dengan pantas sebaik hujan berhenti sekitar jam 3 petang. Kawasan berkenaan kemudian ditimbuni pelbagai sampah sarap termasuk sisa sayur dan plastik, dipercayai datang daripada pasar berkenaan, manakala sebahagian jalan pula dipenuhi lumpur.


Peniaga bunga di Pasar Kajang, Low Kim Teck, 65, berkata beliau dan seorang pekerjanya sempat menyelamatkan barangan jualan termasuk kenderaannya ke tempat selamat apabila melihat paras air sungai di tepi pasar berkenaan mula melimpah sehingga ke tebing lantai pasar setinggi paras lutut.

“Hujan lebat serta angin kuat bermula sebaik kebanyakan peniaga menutup kedai masing-masing. Ketika itu, saya sedang makan apabila melihat paras air semakin naik menyebabkan kami tergesa-gesa memindahkan semua bunga dan kenderaan yang diletakkan di tepi gerai.

“Keadaan agak menakutkan kerana arus air agak laju dan boleh menyebabkan barangan jualan hanyut,” katanya.

Beliau berkata, masalah banjir dipercayai berpunca daripada tabiat orang ramai yang suka membuang sampah dalam sungai menyebabkan sungai semakin sempit.
“Lebih memburukkan, saiz longkang yang kecil tidak dapat menampung jumlah limpahan air dari sungai,” katanya.