Pelabuhan Klang catat jerebu teruk PENDUDUK terpaksa memakai topeng akibat jerebu di sekitar Putrajaya, semalam. - Foto Mohd Fadli Hamzah
IPU melebihi paras tidak sihat

KUALA LUMPUR: Pelabuhan Klang mencatatkan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) tertinggi melebihi paras tidak sihat di Semenanjung dengan bacaan 147 pada jam 5 petang, semalam.
Berdasarkan bacaan Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS) yang dimuatkan di laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS), turut diisytiharkan indeks tidak sihat ialah Kuala Selangor (IPU 129) Shah Alam (120) dan Cheras (105).

Melalui laporan imej satelit NOAA-18 dikeluarkan oleh ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC), terdapat 61 titik panas di Sumatera disebabkan lindungan awan dan asap jerebu dibawa angin barat daya bertiup dari kawasan titik panas di Wilayah Riau, Sumatera Tengah menghala ke arah Pantai Barat Semenanjung. Ini menyebabkan lingkaran jerebu peringkat sederhana berlaku di pinggir pantai kawasan Sumatera Tengah serta memasuki pinggir Pantai Barat Semenanjung Malaysia. - Kenyataan dikeluarkan JAS

Mengikut kenyataan dikeluarkan JAS, kemerosotan kualiti udara dikesan pada 14 Jun di stesen Alor Setar dan Sungai Petani, Kedah; Seberang Jaya, Pulau Pinang dan di Pelabuhan Klang, Selangor.

“Melalui laporan imej satelit NOAA-18 dikeluarkan oleh ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC), terdapat 61 titik panas di Sumatera disebabkan lindungan awan dan asap jerebu dibawa angin barat daya bertiup dari kawasan titik panas di Wilayah Riau, Sumatera Tengah menghala ke arah Pantai Barat Semenanjung.

“Ini menyebabkan lingkaran jerebu peringkat sederhana berlaku di pinggir pantai kawasan Sumatera Tengah serta memasuki pinggir Pantai Barat Semenanjung Malaysia,” kata jurucakap JAS, dalam kenyataan di sini, semalam.

Justeru, orang ramai dinasihatkan tidak melakukan pembakaran terbuka dan melaporkan kes berkenaan kepada Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat di talian 999 dan Jabatan Alam Sekitar di talian bebas tol, 1-800-88-2727.
Katanya, JAS sentiasa memantau status kualiti udara di seluruh negara dan mengaktifkan Pelan Tindakan Mencegah Pembakaran Terbuka di setiap negeri serta mempertingkatkan Prosedur Tetap Operasi (SOP) Program Pencegahan Tanah Gambut Mudah Terbakar dalam mengawal penurunan kualiti udara.

Sehubungan itu, penguatkuasaan pelepasan asap dari kenderaan bermotor dan industri dipertingkatkan memandangkan cuaca kering di beberapa negeri sekitar utara dan Pantai Barat Semenanjung.

Sementara itu, di Shah Alam, Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Mohamad Sani Harul, berkata antara kawasan mencatat bacaan tinggi termasuk Sungai Kelabu di Banting, Pulau Kempas di Sepang dan Johan Setia di Klang kerana kawasan paya bakau di situ terbakar.

“Kebakaran di Sungai Kelabu dan Johan Setia berjaya dipadamkan manakala di Pulau Kempas sedang diusahakan anggota kami.

“Orang ramai dinasihat mengurangkan aktiviti di luar rumah sehingga keadaan terkawal seperti biasa,” katanya.