Didakwa beri kenyataan hina Islam, Nabi di Facebook

Klang: Seorang pelajar sebuah institusi pengajian tinggi ditahan polis di rumahnya di Taman Klang Jaya di sini, bagi membantu siasatan kes memuatkan komen menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW menerusi laman sosial Facebook, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusof, berkata pemuda berusia 25 tahun itu ditahan jam 11 pagi semalam.
Ketika datang membuat laporan polis jam 12 tengah malam tadi (kelmarin), dia menafikan ada mengeluarkan kenyataan itu dan mendakwa komputer ribanya hilang Jun lalu,” - Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusof, Ketua Polis Daerah Klang Selatan.

“Kita menahannya selepas menerima beberapa laporan berhubung kenyataannya itu dan turut merampas sebuah komputer riba miliknya. Ketika datang membuat laporan polis jam 12 tengah malam tadi (kelmarin), dia menafikan ada mengeluarkan kenyataan itu dan mendakwa komputer ribanya hilang Jun lalu,” katanya, semalam.

Terima lima laporan

Mohamad berkata, sehingga semalam, pihaknya menerima lima laporan berhubung kenyataan menghina Allah dan Nabi Muhammad SAW yang didakwa dilakukan pelajar terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana menghina agama dan Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948.

Selain itu, katanya, polis sudah mengambil keterangan tiga individu berhubung kejadian serangan di rumah pelajar terbabit di Taman Klang Jaya, di sini untuk siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
Kediaman pelajar diserang

Terdahulu kediaman pelajar berkenaan dikatakan diserang sekumpulan kira-kira 20 lelaki jam 10.30 malam kelmarin ketika dia bersama penghuni lain tiada di rumah berkenaan, dipercayai berpunca daripada kenyataannya yang menghina Allah dan Nabi Muhammad SAW.

Sementara itu, di IPOH, sepuluh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diketuai Pengerusi Sekretariat Hal Ehwal Bandar (SHEB), Syamsul Baharin Putra Ahmad Shibi membuat laporan polis terhadap suspek di Balai Polis Sungai Senam.

“Belum reda isu Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham dengan kenyataannya, muncul pula individu lain melakukan perbuatan mengguris perasaan umat Islam. Saya ingin mengaitkan isu ini dengan pendirian Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang dilapor menyatakan kenyataan Koo Ham bukan satu isu,” kata Syamsul.

NGO lain termasuk Wira Perkasa Perak, Suara Anak Muda 1Malaysia, Gerakan Belia 4B Perak, Persatuan Budak-Budak Bus Stand Ipoh, Gerakan Belia Bersatu Pembela Islam (BERAPI), Persatuan Kelab Belia Malaysia (MAYC) negeri, Aktivis Kepayang Junior, Ipoh Homize Komuniti dan Kesatuan Anak-Anak Muda Islam Perak (KAMI).