SAYA pelajar Pengajian Jarak Jauh (PJJ) Universiti Utara Malaysia (UUM), semester lapan. Sepanjang mengikuti program itu, saya tidak pernah menangguhkan pengajian kerana masalah kewangan. Saya mendapat bantuan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Bagaimanapun, baru-baru ini, wang PTPTN sehari lambat jadi tidak dapatlah saya membayar yuran pengajian pada hari ditetapkan, iaitu 21 Oktober lalu.
Agak menghairankan pihak badan pengurusan mewakili UUM dalam mengurus pelajar PJJ, tidak dapat menerima pendaftaran saya untuk semester ini kerana dimaklumkan sistem baru pengajian mewajibkan pelajar membayar sepenuhnya yuran pada awal semester. Jika gagal, nama pelajar secara automatik dikeluarkan dalam sistem.

Saya difahamkan kebanyakan universiti lain membolehkan pelajarnya membayar secara ansuran yuran sehingga peperiksaan akhir. Saya berharap perkara seperti ini akan diberi perhatian pada masa akan datang.

PELAJAR KECEWA,
Kuala Lumpur.