FENOMENA filem Bollywood yang pernah melanda masyarakat di negara ini mendorong tiga sahabat Harjinder Singh, Raman Kumar Bachchan dan Sanjeev Mohan melalui syarikat mereka AP Western Sdn Bhd menubuhkan Akademi Bollywood.

Akademi yang dirasmikan baru-baru ini oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Penerangan, Datuk Mohamed Mohd Daud itu menawarkan kursus tarian dan lakonan yang memberi peluang kepada pelajarnya untuk melebarkan sayap ke luar negara.
Berpusat di Kelana Mall, Kelana Jaya, Pengarah Urusannya, Harijinder Singh berkata, akademi itu bakal menjadi platform kepada pelajar yang ingin menjadikan tarian dan lakonan sebagai cabang kerjaya mereka.


“Sudah tiba masanya rakyat di negara ini yang meminati filem Bollywood menjadi sebahagian daripada mereka yang terbabit di dalam filem. Boleh dikatakan kebanyakan rakyat di negara ini meminati filem Hindi. Mereka hanya berpeluang menunjukkan kebolehan menari pada majlis tertentu saja, namun sayangnya mereka bukanlah penari terlatih.

“Melalui akademi yang kami tubuhkan ini, peminat filem Hindi boleh mempelajari tarian yang sering dilihat dalam filem. Selain itu, kami juga mahu membantu merealisasikan impian peminat Hindi yang ingin melebarkan sayap ke peringkat antarabangsa menerusi Akademi kami,” kata Harjinder.

Turut hadir menyerikan majlis itu ialah Ahli Parlimen yang diterbangkan khas dari India iaitu Amar Singh dan Jaya Prada yang turut bergelar pelakon. Menurut Harjinder lagi, Akademi Bollywood itu terbuka kepada semua peringkat umur, bermula dari kanak-kanak sehinggalah dewasa.

Kelas diadakan setiap hari dan pelajar akademi berkenaan mendapat tunjuk ajar tenaga pengajar yang berpengalaman iaitu Agnes Hamilton bersama pembantunya Sachin Poppat dan Sandesh. Agnes memiliki pengalaman cukup luas dalam bidang seni tari.
“Kami menawarkan pelbagai jenis kelas tarian yang sesuai untuk semua peringkat umur, dari kanak-kanak semuda 5 tahun hinggalah kepada orang dewasa. Selain kelas tarian di bawah bimbingan Agnes, kami juga akan menyusun pelbagai aktiviti lagi melalui akademi ini.

“Kami akan mengundang selebriti Bollywood untuk berkongsi ilmu mereka dengan pelajar kami. Selain dari itu, kami juga berhasrat untuk membawa artis Bollywood untuk mengadakan konsert di sini,” katanya.