BENCANA alam dan isu alam sekitar yang timbul sejak kebelakangan ini dipercayai kesan daripada pemanasan global. Soal ini bukanlah isu baru. Isu mengenai pemanasan global sudah diperkatakan sejak bertahun lalu dan pelbagai kesan diramalkan akan berlaku, termasuk gempa bumi dalam tempoh jangka masa yang lama. Pemanasan global terjadi disebabkan oleh banyak faktor penyumbang.

Pemanasan global berlaku apabila alam sekitar mengalami peningkatan suhu yang tinggi walaupun pada waktu malam. Kesan pemanasan global adalah serius walaupun hanya dapat dilihat dalam tempoh jangka panjang dan berlaku sedikit demi sedikit.
Banyak faktor menyebabkan pemanasan global, antaranya disebabkan oleh kesan rumah hijau, hujan asid, pelepasan CFC (clorofluorocarbon), pulau haba bandar dan pelbagai lagi.

Kesan rumah hijau terjadi akibat atmosfera memerangkap haba yang dikeluarkan oleh rumah hijau. Atmosfera menyimpan lebih banyak haba dan menyebabkan bumi menjadi panas.

Hujan asid pula berlaku terutama di kawasan kilang yang mengeluarkan asap yang mengandungi bahan asid yang tinggi. Keadaan ini akan menyebabkan bahan binaan rosak serta boleh membunuh haiwan di dalam sungai dan laut.

Faktor ketiga, ialah pulau haba bandar, hal ini terjadi apabila pelepasan haba di kawasan bandar tersekat oleh bangunan pencakar langit dan menyebabkan haba yang tidak dapat dilepaskan di kawasan atmosfera disebarkan di kawasan sekitar.

Antara kesan pemanasan global ialah banjir, ini kerana suhu semakin meningkat, ais di Kutub Utara mula mencair dan menyebabkan paras air laut meningkat. Apabila paras air laut meningkat, ini akan menyebabkan kawasan daratan semakin mengecil.
Selain itu, kita juga dapat lihat apabila jerebu melanda negara kita akibat kebakaran hutan yang disebabkan peningkatan suhu. Jerebu amat berbahaya kepada kesihatan dan boleh menjejaskan penglihatan.

Kesan terbaru ialah tsunami yang melanda Jepun. Walaupun punca sebenar masih belum diketahui, tidak dinafikan ia ada kaitan dengan pemanasan global.

AMALINA ARIF,
Shah Alam, Selangor.