Bancian dilakukan BH Online. Bancian dilakukan BH Online.
Undian juga syorkan Selangor, Wilayah Persekutuan beli air dirawat dari negeri lain

Kuala Lumpur: Seramai 3,249 individu atau 58.9 peratus pembaca BH Online mahu projek Loji Air Langat 2 dilaksanakan bagi mengelak krisis air di Lembah Klang.
Undian sejak dua minggu lalu yang berakhir semalam turut mendapati 566 pembaca atau 10.26 peratus mencadangkan Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur membeli air dirawat dari negeri lain.

Seramai 880 pembaca (15.95 peratus) pula mahu langkah kawalan penggunaan air oleh orang ramai dilakukan bagi memastikan krisis berkenaan dapat dielakkan, manakala 821 pembaca (14.88 peratus) lagi memilih pelaksanaan kawalan penggunaan air oleh industri seperti di kilang dan tapak pembinaan diperketatkan.

Lembah Klang dijangka mengalami krisis air lebih buruk berbanding 1998 berikutan permintaan air dirawat kini hampir menyamai pengeluaran.

Permintaan air di Selangor misalnya meningkat melebihi kapasiti pengeluaran dari loji pada 17 Jun lalu apabila mencecah 4,410 juta liter sehari, sedangkan kapasiti pengeluaran hanya 4,371 juta liter.

Baru-baru ini, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui, dilaporkan berkata, Projek Loji Rawatan Air Langat 2 satu-satunya mekanisme yang dapat mengatasi masalah bekalan air di Selangor.
Cadangan projek itu berdasarkan Kajian Sumber Air Negara 2000 yang mengambil kira kepesatan kadar pertumbuhan penduduk dan pertumbuhan perbandaran yang tinggi di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Bagaimanapun, Kerajaan PKR Selangor dilihat masih enggan menerima cadangan kerajaan Pusat supaya pembinaan loji itu disegerakan, sebaliknya cuba mengelirukan rakyat dengan mengadakan Forum Air Selangor, namun masih tidak menemui penyelesaian sehingga kini.

Bagi mengelakkan krisis berkenaan serta sebagai langkah kawalan jangka pendek, Kerajaan Pusat terpaksa melancarkan pelan mitigasi dengan kos RM606 juta bagi mengatasi kemungkinan masalah kekurangan air di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya menjelang 2014.

Pelan dalam dua fasa itu akan menyalurkan air dari Sungai Selangor dan Sungai Labu, Negeri Sembilan.