Laman Utama » Rencana
Pembangkang berebut kuasa sebelum tanding
Oleh Manja Ismail
manja@nstp.com.my
2011/03/28
SNAP naik angin apabila PKR tunjuk pandai di SarawakPEBAGAI antara parti politik tertua di Sarawak yang pernah melahirkan Ketua Menteri pertama negeri itu dan parti tempatan tunggal dalam Pakatan Rakyat, Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) sepatutnya mempunyai suara dalam merangka strategi bagi menghadapi pilihan raya negeri ke-10 pada 16 April ini. Oleh kerana itu, apabila Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang hanya mempunyai satu kerusi di Sarawak dan menghadapi masalah dalaman sehingga beberapa wakil rakyatnya keluar parti di Semenanjung, cuba mencaturkan pengagihan kerusi barisan pembangkang, SNAP berhak untuk menyuarakan kemarahan dan kekecewaannya.
Kemarahan SNAP bukan sekadar ia tidak diberikan peranan sepatutnya dalam menghadapi pilihan raya di negeri sendiri, tetapi hanya diberi tiga daripada 71 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan. Bagi sebahagian besar rakyat Sarawak, khususnya ahli SNAP, parti yang berusia 50 tahun pada 10 April ini, tindakan PKR itu adalah satu penghinaan. Justeru, Presiden SNAP, Edwin Dundang Bugak bukan setakat mengumumkan parti itu akan bertanding bersendirian di lebih 40 kerusi DUN, malah sudah menamakan 27 calon mereka.
Dundang pada sidang medianya ketika mengumumkan senarai pertama 16 calon SNAP baru-baru ini, berkata pihaknya tidak mempunyai masalah dengan DAP atau PAS.
Sebaliknya, kata beliau PKR menuntut terlalu banyak kerusi untuk bertanding dan tidak langsung berbincang dengan parti lain mengenai calon mereka.
“PKR terlalu bongkak apabila memaklumkan mahu bertanding di 52 kerusi DUN. Bagaimanapun sehingga ini belum memberitahu calon mereka. SNAP cuma berharap parti pembangkang lain tidak meletakkan calon di kerusi yang akan kita tandingi,” katanya.
Masalah perebutan kerusi di kalangan pembangkang bukan setakat membabitkan PKR dan SNAP saja. DAP yang dilihat satu-satunya parti mampu memberi tentangan sengit kepada Barisan Nasional (BN) di beberapa kawasan, juga menghadapi masalah dengan PKR, yang bertegas mahu bertanding di 52 kerusi.
DAP yang mahu bertanding di 18 kerusi majoriti pengundi Cina dan Dayak bukan saja terpaksa menghadapi SNAP, tetapi mungkin juga PKR, jika kata sepakat tidak dicapai. Mungkin PAS saja yang berhasrat bertanding di enam kawasan, tidak menghadapi masalah itu.
Setiausaha Agung DAP Sarawak, Chong Chieng Jen dilaporkan berkata, pihaknya sedia menyerahkan kerusi Padungan dan Senadin kepada PKR dengan harapan berlaku pertandingan satu lawan satu terhadap BN. Bagaimanapun, katanya, PKR masih berkeras supaya DAP menyerahkan tiga lagi kerusi - Batu Kawah, Dudong dan Balai Ringin.
“Kami tidak dapat menyetujui permintaan PKR itu. Ini berita buruk. Perkara ini tidak bagus,” kata Chong. Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Sentosa dan Ahli Parlimen Bandar Kuching itu, berkata jika kata sepakat tidak dicapai, DAP tiada pilihan melainkan bertanding bersendirian dan menghadapi kemungkinan bertanding menentang satu sama lain, selain BN.
Keghairahan PKR untuk mengetuai barisan pembangkang di Sarawak, sehingga sanggup mengguris perasaan SNAP dan DAP mungkin bersandarkan kejayaannya pada pilihan raya umum lalu. Kepemimpinan PKR mungkin terlalu yakin strategi yang digunakan ketika pilihan raya umum lalu boleh diguna pada pilihan raya negeri Sarawak.
Bagaimanapun, dalam tempoh tiga tahun lalu, pelbagai perkembangan berlaku sama ada dalam kepemimpinan PKR atau dunia politik tanah air. Seorang demi seorang pemimpin dan wakil rakyat PKR meninggalkan parti kerana kecewa dengan kepemimpinannya. Dalam kata lain, PKR kini tidak seutuh seperti ketika sebelum pilihan raya umum lalu.
Politik Sarawak pula amat berbeza dengan Semenanjung bukan saja dari segi budaya, malah penerimaan rakyat tempatan terhadap orang luar, apa lagi jika yang mahu ‘tunjuk pandai’.
Di kalangan barisan pembangkang di Sarawak, hanya SNAP dan mungkin DAP yang memahami hakikat ini. Itulah sebabnya kedua-dua parti menyuarakan kekecewaan mereka secara terbuka terhadap PKR.
Sejauh mana persefahaman pembangkang dalam pengagihan 71 kerusi yang menjadi rebutan, akan diketahui pada hari penamaan calon 6 April ini.
Kepada kebanyakan pemerhati politik, jika sebelum bertanding, sudah berlaku ‘perbalahan’ untuk merebut kerusi, bagaimana rakyat Sarawak boleh diyakini tidak berlaku perebutan kuasa sesama mereka jika pembangkang ditakdirkan menang nanti.