Laman Utama » Rencana
Pembangkang habis modal berkempen
Oleh Mohd Azis Ngah
2011/04/11
Ceramah Anwar, Guang Eng tanpa bukti kukuh, sekadar menyajikan cerita sedap didengarHANYA dua pendapat bermain di fikiran ketika mendengar ceramah umum pembangkang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin DAP, Lim Guang Eng yang datang jauh berkempen di bandar raya Miri, Sarawak. Mereka berdua turut berada di merata tempat termasuk di Kuching dan Sibu.
Mereka kehabisan modal berkempen dan ia cuma kempen populis. Mereka tidak perlu membuat kajian, menyertakan bukti kukuh untuk meyakinkan rakyat, cukup sekadar menyajikan cerita sedap didengar halwa telinga.
Pakatan pembangkang menggunakan sebaik peluang yang ada menghentam Barisan Nasional (BN) dan tentunya sasaran utama ialah pemimpin utama merangkap jeneral perang parti pemerintah, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.
Ketua Menteri itu dihentam teruk, diserang daripada pelbagai sudut dengan cerita tidak enak didengar. Bak kata orang, menabur peluru fitnah memang seronok dan itulah yang mereka lakukan.
Anwar secara mudahnya mendakwa Abdul Taib kebal, langsung tidak boleh diusik dan menggambarkannya sebagai seorang yang tamak mengumpul harta kekayaan untuk diri sendiri.
Kempen Guan Eng pula langsung tidak beradab apabila menggambarkan Taib sebagai buaya berkaki dua. Katanya, di Sarawak memang banyak buaya tetapi buaya kaki dua paling bahaya. Cukup mudah mereka menghukum dan tentunya rakyat berfikiran cetek akan mudah percaya dengan kata-kata seorang yang menggambarkan dirinya sebagai boleh dipercayai.
Itu cerita orang yang kehabisan modal kerana tiada isu besar boleh dijadikan peluru menghentam BN Sarawak pimpinan Abdul Taib. Mereka tidak banyak mempersoalkan kejayaan pembangunan di Sarawak kerana soal itu tidak banyak cacat celanya.
Menariknya, penyokong yang datang mendengar kempen mereka pula boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu penyokong fanatik dan pendengar yang sekadar mahu datang mendengar apa yang mahu diperkatakan.
Mereka yang fanatik ini akan mengiyakan apa saja yang diperkatakan. Jika diberikan segelas air sirap sambil mendengar cerita Anwar, lima minit kemudian mereka akan percaya kata-katanya air di dalam gelas mereka adalah air kosong, bukannya air sirap.
Sekumpulan lagi mendengar sambil berdiri, ada yang berpeluk tubuh, langsung tiada memberi sebarang reaksi walaupun penceramah membuat lawak atau membawakan watak si lucu.
Kerana mereka adalah orang berpelajaran, boleh berfikir sendiri. Betul atau tidak apa yang diperkatakan, apa buktinya, adakah Sarawak tidak membangun dan terus mundur. Adakah kerajaan BN langsung tiada membawa sebarang perubahan dan pembangunan?
Jika itu menjadi modal murahan pembangkang, siapa menyediakan kemudahan di negeri ini, siapa membantu anak bersekolah, siapa memberi pelbagai subsidi kepada rakyat, siapa yang perjuangkan nasib rakyat?
Adakah Sarawak ketinggalan hanya kerana pembangunannya tidak sama dengan negeri di Semenanjung kerana mereka juga sedar fakta bahawa negeri ini terlalu besar dengan bentuk muka bumi berbeza. Sudah tentu ia tidak bergerak sepantas negeri di Semenanjung yang buminya landai dan rata.
Itulah yang menjadi modal pembangkang, mereka hanya tahu menghentam. Slogan ‘UBAH’ yang mereka banggakan sebenarnya sudah ketinggalan.
Jauh berbeza dengan BN yang menggunakan slogan TRANSFORMASI. Jika merujuk kepada kamus sekalipun, istilah transformasi itu sebenarnya merangkumi semua, bukannya zaman berubah tetapi meningkatkan keupayaan dan pencapaian berdasarkan dasar sedia ada kerana perubahan memang sudah lama berlaku di bawah kerajaan BN.
Bahkan, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri menekankan sudah banyak transformasi berlaku pada era pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan tentunya kerajaan BN Sarawak termasuk dalam perancangan ke arah mencapai negara maju.
Tidak hairanlah jika Muhyiddin sendiri melahirkan rasa kasihan kepada Anwar yang nampaknya lebih sibuk memperjuangkan maruah diri kerana membaiki imej yang kini berserabut dan berceramuk dengan isu peribadinya.
“Kalau diri sendiri tak terurus, sibuk nak perbaiki imej diri sedangkan parti pula dah jadi rojak, macam mana nak uruskan hal rakyat,” katanya.
Rakyat Sarawak terkenal dengan budaya beradat, tidak terlalu agresif dalam kempen pilihan raya seharusnya sudah bijak menilai antara intan dan permata.
Jangan sesekali merosakkan budaya kempen secara harmoni dengan membiarkan pembangkang melepaskan tembakan peluru penabur membuta tuli kerana jika silap membuat keputusan, mereka juga menanggung akibatnya.
Sudah tentu rakyat negeri ini lebih suka digelar sebagai orang yang berfikir, bukan menerima bulat-bulat apa juga maklumat diterima apatah lagi dalam ceramah politik pembangkang yang mudah menabur janji.