Pembangkang serang peribadi

Hishammuddin berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Indera Mahkota 2012 di Stadium Sukpa Bandar Indera Mahkota, di sini semalam.
Kuantan: Ahli UMNO perlu bersedia untuk berdepan pelbagai isu membabitkan serangan peribadi dan tohmahan yang pasti akan dibangkitkan pembangkang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata pembangkang akan menggunakan pelbagai cara bagi memastikan matlamat mereka menjatuhkan kerajaan sekarang dicapai.
Kena bersedia
“Pembangkang akan melakukan apa saja bagi menjatuhkan kerajaan UMNO dan Barisan Nasional (BN), jadi ahli UMNO dan BN kena bersedia. Jika mereka serang kita guna laman sosial.. kita kena balas balik untuk pertahankan diri dan serang mereka juga menggunakan laman sosial.
“Pendekatan dulu.. pendekatan bersemuka dengan pengundi dan rakyat boleh diteruskan, tapi kita perlu gunakan laman sosial kerana ia lebih mudah untuk merapati golongan muda, terutamanya yang kali pertama mengundi,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Indera Mahkota, di sini, semalam.
Turut hadir Ketua UMNO bahagian, Datuk Mohd Hazmi Yusof.
Tambah nilai
Hishammuddin berkata, semua bahagian dan cawangan perlu membuat tambah nilai pada program dan pendekatan yang mereka lakukan sebelum ini bagi memastikan golongan muda cenderung memilih UMNO sebagai parti pilihan mereka.
Katanya, perkara itu perlu diberi perhatian bagi menangkis budaya politik kebencian dan pecah-belah yang dibawa pembangkang.
“Budaya politik seperti ini sepatutnya kita tolak.. ini bukan budaya politik yang kita mahu. Jadi, ahli UMNO kena memainkan peranan bagi memastikan golongan muda tidak terikut-ikut dengan pembangkang,” katanya.
Sementara itu, ketika diminta mengulas harapan beliau dalam Bajet 2013 yang akan dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Hishammuddin berkata, kertas cadangan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) sudah dihantar kepada Kementerian Kewangan untuk penilaian.
“Kita tunggu pembentangan bajet Jumaat ini. Kami harap kerajaan dapat beri pertimbangan permohonan penambahan anggota dan memperbaiki skim perjawatan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Penambahan anggota ini penting bagi meneruskan kesinambungan kejayaan PDRM mengurangkan kadar jenayah dan ia termasuk dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) ditetapkan kerajaan,” katanya.
Hishammuddin berkata, selain penambahan anggota, KDN bercadang memperluaskan pembabitan pelbagai pihak membanteras jenayah.