header

Pembangunan berterusan jaminan BN kepada pengundi Batu Sapi

Datuk Seri Musa Aman
Datuk Seri Musa Aman

Penduduk perlu fokus, fikirkan masa depan sebelum memangkah elak perancangan yang disusun kerajaan tergendala

TEMPOH 24 jam terakhir menjelang perhitungan di Batu Sapi adalah detik paling genting. Apa yang bermain di fikiran Datuk Seri ketika ini?

Ya, kita akui masa yang tinggal memang kritikal sebelum hari pengundian tetapi kita sudah bersedia. Kita tidak memandang mudah apa-apa hal dan akan terus bekerja hinggalah peti undi ditutup. Kita yakin rakyat Sabah matang berpolitik dan berharap tiada perkara tidak diingini berlaku. Fokus kita ialah memastikan pengundi memilih calon BN dan itu yang penting. Alhamdulillah, mereka menerima Datin Linda Tsen sebagai calon BN secara keseluruhannya. Mereka kenal siapa beliau kerana biasa berjumpa sebelum ini. Keadaan itu dengan sendirinya melancarkan aktiviti turun padang jentera BN sebagai satu pasukan di Batu Sapi. Apabila Datin Linda menyatakan kesediaan menyambung pelbagai tugas yang tidak sempat dilaksanakan mendiang suaminya, beliau benar-benar ikhlas kerana tahu apa yang diperkatakan dan memahami keadaan setempat. Oleh itu, pengundi wajar memilih BN supaya tugas membangunkan Batu Sapi dapat diteruskan. Sampai ke satu tahap, ada kemungkinan rakyat terpengaruh dengan kata-kata pembangkang?

Kita mesti jelaskan siapa mereka sebenarnya. Apa latar belakang Datuk Yong Teck Lee. Mungkin ada orang muda yang tidak tahu kisah sebenar. Kesimpulannya, dia tidak berjuang untuk rakyat Sabah tetapi diri sendiri. Dia tidak meletakkan rakyat sebagai keutamaan. Sekarang kita ada banyak perancangan. Sejak saya menjadi Ketua Menteri, kita tetapkan hala tuju negeri sebagai panduan. Kita ada Koridor Pembangunan Sabah (SDC) dan Model Baru Ekonomi (MBE) yang menjurus ke arah usaha memajukan negara dan negeri. Gagasan 1Malaysia melorongkan laluan bagaimana kita boleh memanfaatkan rakyat. Sabah dan Sarawak sudah lama menerima 1Malaysia tanpa mengira agama, suku kaum atau budaya. Kita saling mengunjungi bila ada perayaan, kita saling menghormati dan kita hidup berharmoni. Oleh itu, mengapa mesti disebut soal ‘Sabah Untuk Rakyat Sabah’ yang dengan jelas bersifat kenegerian. Itu pandangan yang terlalu sempit untuk mengelirukan rakyat.

Datuk Seri baca dalam media mengenai calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ansari Abdullah dua kali jatuh ke laut sepanjang berkempen. Mungkin dia tidak faham selok-belok keadaan di Batu Sapi?

Saya sedih dan simpati itu berlaku kerana dia tak faham selok-belok kawasan ini. Saya dah kata, janganlah orang luar jadi calon. Dia tak tahu jambatan mana yang rosak dan tak pandai pilih. Dia dari Tuaran datang ke Batu Sapi jadi calon. Biarlah orang tempatan yang tahu adat resam dan budaya masyarakat sini. Saya dimaklumkan ramai pemimpin pembangkang ada di Batu Sapi membantu kempen. Datanglah, saya tiada masalah. Kita cuma katakan kepada rakyat Sabah, mereka ini siapa untuk bercakap soal Sabah. Kita orang sini, kita lebih tahu apa masalah rakyat. Bukanlah kita sombong tak benarkan mereka datang kerana BN pun ada menteri dari Pusat datang dan pemimpin UMNO.
Sabah dilihat hampir bebas daripada pengaruh pembangkang. Bagaimana Datuk Seri menjelaskan keadaan ini?

Rakyat dapat melihat sendiri mana parti yang kucar-kacir dan sentiasa berbalah dengan parti yang mengambil berat masalah mereka. Rakyat faham BN mempunyai rekod perkhidmatan yang baik. BN mengotakan janjinya, BN mendengar dan menyelesaikan kesulitan hidup mereka. Kadang-kadang ada janji yang mengambil masa untuk ditunaikan tetapi di akhirnya, rakyat tetap mendapat manfaat hasil kestabilan pentadbiran BN. Rakyat Sabah pernah melalui era hidup di bawah pentadbiran pembangkang dan keperitan dialami sukar dilupakan. Mereka tahu betapa susahnya apabila terpinggir daripada arus kemajuan dan saya yakin rakyat Sabah tidak mahu melaluinya lagi.

Apa yang boleh Datuk Seri katakan mengenai agenda pembangunan yang belum selesai di Batu Sapi termasuk di pulau?

Untungnya Batu Sapi ialah kedudukannya yang hampir dengan Sandakan. Pelbagai perancangan yang sudah, sedang dan akan dilaksanakan di Sandakan turut memanfaatkan penduduk Batu Sapi. Antara yang utama ialah projek melebarkan jalan dan ini termasuk peruntukan serta-merta RM16 juta yang diluluskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada Isnin lalu untuk membesarkan Jalan Sibuga sejauh 2.75 kilometer. Kita turut wujudkan Kluster Perindustrian Kelapa Sawit (POIC) di Batu Sapi. Kilang yang dibuka memberi peluang pekerjaan kepada anak tempatan dan orang kampung. Dengan cara itu, mereka tidak perlu lagi berhijrah ke Kota Kinabalu atau Semenanjung untuk mencari kerja. Semua ini membawa kesejahteraan kepada rakyat dan itu berbeza dengan pembangkang yang tidak boleh bawa apa-apa. Kita juga menyedari keadaan penduduk yang mendiami beberapa pulau di Batu Sapi. Mana yang atapnya bocor, kita beri zink sebagai ganti bumbung dan ada juga yang kita baiki struktur kediamannya. Seperti saya katakan, janji BN sentiasa dikota dan kita cari mereka tidak kira di mana.

Jentera BN dilihat bergerak secara tersusun di Batu Sapi. Bagaimana Datuk Seri menyelaraskannya tanpa ada pertembungan?

Kita utamakan jentera parti bahagian. Fokus utama ialah ketua bahagian, ahli jawatankuasa dan ketua cawangan. Kita sedar dan faham ini adalah jentera yang memahami selok-belok kawasan. Gerakan ini dibantu oleh jentera bahagian dari seluruh Sabah. Setiap kawasan kita lantik penyelaras yang dibantu ketua bahagian, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen. Kita bermesyuarat dua hari sekali untuk mengenal pasti masalah, tindakan perlu diambil, apa yang kurang dan apa kelemahan. Kita bincang dan baiki. Mereka yang dari luar kawasan tidak ganggu, sekadar memantau. Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri ada aktiviti masing-masing. Kita pastikan semua pihak ada peranan dan tumpukan kepada tugas masing-masing.

Kita ada empat saluran dan sudah agihkan kepada MCA, MIC, PBS dan Parti Liberal Demokratik (LDP), manakala Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut (UPKO) bantu memantau. Ini adalah kekuatan BN.

Ingatan buat pengundi di Batu Sapi.

Fokus dan fikirkan masa depan sebelum memangkah. Perhitungan ini bukan untuk sehari dua tetapi sepanjang kehidupan. Segala bentuk pembangunan yang dinikmati selama ini adalah hasil kerja keras kerajaan BN dan ia perlu diteruskan. Untuk memastikan itu berlaku, BN perlu diberi mandat di Batu Sapi.
AHLI Parlimen Batu Sapi, Datin Linda Tsen Thau Lin menandatangani buku sumpah Ahli Dewan Rakyat selepas mengangkat sumpah di Parlimen, di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto BERNAMA
Nov 9, 2010 12:22 pm
AHLI Parlimen Batu Sapi yang baru, Datin Linda Tsen Thau Lin mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Rakyat di Parlimen, Kuala Lumpur, hari ini. Tsen, 54, yang juga Naib Ketua Wanita Parti Bersatu Sabah (PBS) menjadi Wakil Rakyat setelah memenangi pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi, Khamis lalu. - Foto BERNAMA
Nov 9, 2010 12:20 pm
CALON Barisan Nasional, Datin Linda Tsen Tsau Lin yang memenangi pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi dijulang Puteri Umno yang turut hadir ketika pengiraan undi di Dewan Masyarakat Sandakan. - Foto Edmund Samunting
Nov 5, 2010 12:05 am
TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Musa Aman yang juga Ketua Menteri Sabah (empat dari kiri) bersama-sama penyokong-penyokong BN yang lain mengangkat tangan calon Barisan Nasional (BN), Datin Linda Tsen Tsau Lin (dua dari kiri) di atas kejayaan beliau memenangi pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi di Dewan Masyarakat Sandakan. - Foto Edmund Samunting
Nov 5, 2010 12:03 am
TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah) dan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Musa Aman yang juga Ketua Menteri Sabah (kiri) beramah mesra dengan calon SAPP Datuk Seri Yong Teck Lee bagi pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi ketika pengiraan undi di jalankan di Dewan Masyarakat Sandakan. - Foto Edmund Samunting
Nov 5, 2010 12:01 am
TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (kiri) dan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Musa Aman yang juga Ketua Menteri Sabah (dua dari kiri) sempat beramah mesra dengan calon Parti Keadilan Rakyat, Ansari Abdullah bagi pilihanraya kecil Parlimen Batu Sapi ketika pengiraan undi di jalankan di Dewan Masyarakat Sandakan. - Foto Edmund Samunting
Nov 4, 2010 11:59 pm
DATIN Linda Tsen Thau Lin dari Barisan Nasional mengangkat tangan ketika di umumkan sebagai Ahli Parlimen Batu Sapi oleh Pegawai Pengurus, Mohamad Hamsan Awang Supain (dua dari kiri) sambil diperhatikan calon SAPP, Datuk Yong Teck Lee dan calon PKR, Ansari Abdullah di Pusat Perjumlahan Undi, Pilihanraya Kecil Parlimen Batu Sapi di Dewan Masyarakat Sandakan. - Foto Rosdan Wahid
Nov 4, 2010 11:57 pm
PETUGAS SPR meletakkan peti undi dan dipamerkan di atas pentas di Pusat Perjumlahan Undi Pilihanraya Kecil Parlimen P.185 Batu Sapi di Dewan Masyarakat Sandakan. - Foto Rosdan Wahid
Nov 4, 2010 11:55 pm
PETUGAS SPR membewa peti undi untuk dipamerkan di atas pentas di Pusat Perjumlahan Undi Pilihanraya Kecil Parlimen P.185 Batu Sapi di Dewan Masyarakat Sandakan. - Foto Rosdan Wahid
Nov 4, 2010 11:54 pm
PETI undi dibawa masuk ke Dewan Masyarakat Sandakan bagi proses penjumlahan undi pada pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi. - Foto Sairien Nafis
Nov 4, 2010 11:52 pm

Keputusan pilihan raya kecil Batu Sapi

Pautan Berkaitan