Ekonomi
Peminjam sedia ada TEKUN diutamakan
2010/06/02
PENYALURAN dana Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) akan diberi keutamaan kepada peminjam sedia ada yang mempunyai rekod pembayaran baik, selain mengenakan syarat kepada peminjam baru untuk memiliki latar belakang berniaga yang baik untuk dipertimbangkan.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Johari Baharom, berkata pendekatan itu dilihat mampu mengurangkan risiko peminjam cuai membayar semula pinjaman.
“Kita akan bagi keutamaan kepada mereka yang telah meminjam dan membayarnya dengan sempurna, manakala kepada peminjam baru, kita akan lebih tegas. Biar ambil masa yang lama tetapi kita dapat menyalurkannya kepada kumpulan sasar yang tepat,” katanya.
Bercakap pada sidang media selepas Seminar Usahawan Industri Asas Tani 2010 di Kuala Lumpur, semalam, Johari berkata rekod membuktikan peminjam yang tidak mempunyai asas perniagaan, lebih terdedah kepada risiko kegagalan.
“Sekarang kita akan lebih teliti, malah proses saringan juga akan diperketatkan. Untuk mengelaknya, kita akan pastikan peminjam mempunyai latar belakang perniagaan supaya kita dapat memilih mereka yang betul-betul nak berniaga serta ingin maju.
“Kita terpaksa memperketatkan saringan kerana sudah banyak berlaku yang mana mereka yang diberikan pinjaman tidak menggunakannya dengan betul, malah perniagaan mereka juga hilang begitu saja,” katanya.
Johari berkata, kementerian juga sedang berusaha memberi bimbingan bagi menaik taraf kira-kira 2,000 usahawan mikro yang bernaung di bawah Jabatan Pertanian untuk diketengahkan menjadi usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS).
Katanya, beliau bersama Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian yang bertanggungjawab dalam Industri Asas Tani akan mengadakan dialog dengan usahawan terbabit.
Beliau berkata, majlis dialog itu bertujuan mendengar permasalahan usahawan terbabit sebelum mencari jalan penyelesaian meningkatkan pendapatan tahunan mereka yang kini di bawah RM250,000.
“Kita akan kenal pasti mereka yang betul-betul berpotensi dan yakin boleh berjaya, kita akan sediakan bantuan dari segi kewangan untuk membesarkan skop perniagaan.
“Daripada 2,000 usahawan mikro itu, kementerian menyenaraikan 200 usahawan yang jualan tahunannya mencapai RM250,000 untuk dinaikkan menjadi usahawan IKS,” katanya.