Pencarian Ratu Cantik Dunia Malaysia bermula Anna (kiri) mengalu-alukan orang ramai menyertai Ratu Cantik Dunia Malaysia yang akan dianjurkan Julai ini.
Pertandingan Ratu Cantik Dunia Malaysia 2013 kini kembali lagi dengan tema 'Cantik dengan Tujuan' mengalu-alukan wanita yang mempunyai kriteria ditetapkan, bijak dan memiliki aura mempesona untuk menyertai acara penuh berprestij ini.

Lebih unik lagi, acara itu yang bakal diadakan di negara ini dianjurkan sendiri oleh bekas Ratu Cantik Malaysia/Universe 1990 dan Malaysia/World 2004/2005, Datuk Anna Lim selepas mendapat lesen rasmi bagi penganjurannya daripada Miss World Limited, London.
Anna berkata, beliau bangga kepercayaan ini diberikan kepadanya untuk berkongsi menyebarkan mesej positif menerusi kecantikan dan akan memastikan pengalamannya dapat dijadikan panduan pada acara kali ini.

“Saya komited untuk memastikan ia bukan hanya menjadi ratu berdasarkan kecantikan tetapi perlu menarik perhatian hakim dengan personaliti dan kecerdasan mereka.

“Tema yang ditetapkan kali ini juga bertepatan dengan mesej yang ingin dibawa oleh saya iaitu ratu cantik bukan hanya dikenali daripada penampilan yang menawan, tetapi juga sumbangan yang dilakukan kepada masyarakat,” katanya.

Promosi Malaysia

Ratu cantik antarabangsa ditubuhkan pada 1951 adalah acara paling lama sekali dan berjaya menarik penyertaan daripada seluruh dunia. Sehingga kini Pertubuhan Ratu Cantik Dunia berjaya mengumpul lebih daripada RM1,442,925,000 (USD $450,000,000) untuk membantu kanak-kanak kurang bernasib baik di seluruh dunia.
Beliau turut berharap menerusi acara ini dapat membuka banyak mata mengenai Malaysia sekali gus mempromosikan negara sempena Tahun Melawat Malaysia 2014.

Anna berkata, beliau juga berbangga dapat bekerjasama dengan organisasi ini dan berharap dapat melakukan tanggungjawab diberi dengan penuh berwibawa.

Acara berprestij ini dijadualkan berlangsung pada akhir Julai ini dan pertandingan akhir Ratu Cantik Dunia 2013 pula akan diadakan di Jakarta, September ini. Sebarang maklumat lanjut boleh dikemukakan kepada meridiansurf@yahoo.com, sebelum 10 Julai ini.

INFO: Piawaian penyertaan Ratu Cantik Dunia Malaysia 2013
* Wanita berusia antara 17 hingga 24
* Tinggi dan bentuk badan yang elok.
* Menyerlah dengan kulit yang baik
* Penampilan fizikal yang sihat
* Sebaik-baiknya lulusan universiti bagi menyuarakan pendapatnya
* Mesra dan bersikap positif