Kanak-kanak patut diajar cara pertahankan diri, tanamkan rasa curiga orang tak dikenali

SENARIO kononnya hanya orang kaya perlu berjaga-jaga dan sentiasa berwaspada supaya anak mereka tidak diculik untuk mendapatkan wang tebusan bukan lagi fakta. Satu ketika dulu, kebanyakan kes membabitkan penculikan disasarkan kepada golongan berada tetapi kini ia sudah berubah.
Penculik kini tidak mengira siapa dan kedudukan keluarga mangsa berbanding seperti sering digambarkan dalam drama televisyen, penculik akan mengenal pasti keluarga kaya dan menjejaki anak mereka dan memulakan operasi selepas pasti keluarga mangsa memang mampu membayar wang tebusan puluhan atau ratusan ribu ringgit.

Jika dilihat kepada beberapa kes penculikan akhir-akhir ini, ia nampak lebih cenderung kepada sindiket pelacuran. Ini menunjukkan penjenayah kini tidak mengira sesiapa. - Akhbar Satar, Pakar Kriminologi

Lebih merisaukan, jika dulu tujuan penculikan menyasarkan wang tebusan, kini ia semakin parah. Selain menuntut wang tebusan, pelbagai kemungkinan boleh berlaku sepanjang mangsa ditawan. Mungkin dirogol, diserahkan pada sindiket pelacuran atau paling kronik, dibunuh dengan kejam.

Berkali-kali amaran dan nasihat diberikan kepada ibu bapa supaya berhati-hati dan sentiasa memastikan keselamatan anak mereka tetapi sejauh mana mereka mampu mengawal, tambahan pula anak yang sedang dalam usia remaja.

Justeru, benarlah kata orang tua, malang tidak berbau. Dalam meminta anak mereka sentiasa berhati-hati, jenayah culik tetap berlaku. Ada yang menyifatkan tiada ruang selamat lagi di bumi ini.

Apa silapnya dan bagaimana menanganinya? Saban hari ada saja kes penculikan dan kehilangan, terutama membabitkan gadis dan kanak-kanak. Terbaru, remaja perempuan berusia 14 tahun yang dilaporkan hilang di Shah Alam ditemui di Stesen Kereta Api Hua Lampong, Bangkok selepas berjaya melarikan diri daripada sindiket pelacuran antarabangsa yang dipercayai menculiknya.
Serentak dengan berita penemuan gadis itu, negara gempar pula dengan berita penculikan gadis seusianya, Siti Nur Fatihah Mahadi, di Taman Tas, Kuantan dan lebih berani lagi, penculik itu melakukannya di khalayak ramai pada siang hari. Mahu dikatakan mangsa atau ibu bapanya cuai, mangsa bukan berada di kawasan berbahaya dan hanya 100 meter dari rumahnya.

Pakar Kriminologi, Datuk Akhbar Satar, berkata pendekatan dan pandangan masyarakat mengenai jenayah perlu diubah kerana modus operandi dan tujuan penjenayah juga sudah berubah. Penculikan tidak lagi dikaitkan dengan tuntutan wang tebusan saja tetapi kini lebih banyak bertujuan untuk rogol dan sindiket pelacuran.

“Jika dilihat kepada beberapa kes penculikan akhir-akhir ini, ia nampak lebih cenderung kepada sindiket pelacuran. Ini menunjukkan penjenayah kini tidak mengira sesiapa. Asalkan dapat wang dan boleh dijadikan mangsa seks, ia sudah memadai bagi mereka dan sindiket ini lebih berani melakukan jenayah di mana saja.

“Jenayah boleh berlaku di mana saja. Ia disebabkan sikap masyarakat yang berpegang pada prinsip ‘jangan jaga tepi kain orang’. Prinsip sebegini perlu dibuang kerana ia sebenarnya membawa masalah terutama ketika berlaku jenayah.

“Jika berlaku jenayah seperti culik di tempat awam, ramai yang buat endah tak endah sebab tidak mahu terbabit. Mereka tidak rela bersusah payah memberi keterangan kepada polis dan ini sebenarnya menunjukkan yang kita sendiri memberi ruang serta peluang kepada penjenayah.

“Paling ketara, sikap terlalu baik hati dalam kalangan masyarakat kita menjadi satu lagi masalah. Dalam masyarakat Barat, sejak kecil lagi sudah mendidik anak mereka supaya tidak bercakap dengan orang tidak dikenali. Semua itu dijelaskan secara terperinci. Orang kita pula segan untuk menjelaskan sebab sesuatu tindakan dibuat.

“Sebagai contoh, jika anak dipukul, jarang ada ibu bapa menjelaskan secara terperinci kenapa tindakan itu dibuat. Mereka berharap anak menyedari salah mereka. Orang kita juga terlalu lembut hati. Pantang ada kereta berhenti untuk bertanya, dengan lemah lembut layanan diberi. Itu tidak berlaku di Barat, mereka akan cuba mengelak terlebih dulu,” katanya.

Akhbar berpendapat ibu bapa perlu menanam rasa curiga dalam kalangan anak mereka. Sebagai contoh, jika nampak kenderaan diperlahankan berhampiran mereka, cepat beredar dan berada di tempat ramai orang. Tidak boleh selalu bersangka baik kerana ia berisiko membahayakan diri pula.

Selain itu, kanak-kanak perlu diajar cara mempertahankan diri, sekurang-kurangnya tahu menepis atau mengelak apabila dipegang seseorang, tidak menyerah begitu saja. Paling penting, mereka perlu belajar teknik mengawal situasi. Jika ada sesuatu yang mencurigakan, mereka berupaya mengelak segera.

“Pembangunan berlaku dengan pantas di negara ini sekali gus mendorong lebih banyak penjenayah. Oleh kerana itu anak-anak kita juga perlu lebih bersedia. Ini tidak, di sekolah, ilmu kraf tangan dan nilai baik hati menjadi keutamaan, sedangkan sewajarnya mereka diajar mengenai teknik mempertahankan diri dan curiga dalam sesetengah situasi.

“Orang kita juga kuat sangat malunya. Jika anak hilang, selalunya mereka tunggu 24 jam. Apa salahnya terus buat laporan polis dan kalaupun anak itu rupa-rupanya ada di loteng rumah sendiri, tidak menjadi masalah. Jangan pula rasa malu kerana tersilap tafsir. Bertindak segera lebih baik daripada sesuatu yang buruk berlaku,” katanya.