login|daftar
BH Facebook Komuniti ↓
WAKTU SOLAT Kuala Lumpur
SUBUH
ZUHUR
ASAR
MAGHRIB
ISYAK
 
SMS waktu solat
... kawasan lain
Jumaat , 01 Ogos 2014
bullet Set BH sebagai Laman Utama bullet Arkib Berita : Seminggu | Sejak 1991
PILIHAN ENJIN CARIAN
BH TwitterBH Facebook
Cetak Artikel Cetak . E-mel Rakan Emel Rakan .

Pendekatan baru didik pesalah syariah
Hasliza Hassan | hasliza@bharian.com.my

2012/12/08

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) kini menumpukan usaha mengurangkan jenayah syariah di Kuala Lumpur selepas kejayaan mengawal serta mengurangkan 90 peratus jenayah syariah di Putrajaya dan Labuan.

Pengarah JAWI, Datuk Che Mat Che Ali, berkata beliau yakin kesungguhan 100 pegawai penguatkuasa yang akan terbabit dalam misi itu mampu mengurangkan 50 peratus jenayah syariah di sekitar ibu negara menjelang 2015.
Katanya, walaupun berdepan cabaran sukar kerana sebagai bandar raya yang menjadi tumpuan semua lapisan masyarakat dalam serta luar negara, Kuala Lumpur sentiasa terdedah kepada perlakuan pelbagai jenayah.
“Kuala Lumpur tempat mudah cari makan daripada yang sejujur-jujur individu kepada yang mengambil kesempatan dengan menganiaya atau mengeksploitasi orang lain. Justeru, tidak dinafikan agak sukar untuk membendung jenayah syariah yang dilakukan.

“Namun, itu tidak sedikitpun melemahkan kami untuk mencapai sasaran mengurangkan 50 peratus jenayah syariah,” katanya mengulas mengenai kempen Jom Cegah Jenayah Syariah yang dilancarkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, baru-baru ini.

Che Mat berkata, cabaran menangani jenayah syariah di Kuala Lumpur ialah 90 peratus daripada kesalahan itu bukan dilakukan warga tempatan sebaliknya oleh mereka yang berhijrah dari seluruh negara.

Lebih menyukarkan, katanya, kegiatan menyalahi syariah turut didalangi pihak yang membawa masuk wanita luar negara yang dieksploitasi dalam kegiatan tidak bermoral dan kegiatan mereka sukar untuk dibendung.
“Namun, tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan dan pencapaian memberangsangkan di Labuan serta Putrajaya dijadikan pendorong,” katanya.

Che Mat berkata, Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 menjadi sandaran kepada masyarakat untuk mengetahui kesalahan yang boleh dikenakan tindakan serta hukuman jika dilakukan oleh umat Islam di Wilayah Persekutuan.

Kaedah lebih berhikmah
Ini termasuk khalwat, persetubuhan haram, berjudi, minum arak, tidak sopan di tempat awam, memberi ceramah tanpa tauliah, menyebarkan ajaran sesat serta terbabit amalan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Katanya, berbeza dengan pendekatan penguatkuasaan tegas yang dibuat di Putrajaya dan Labuan termasuk tangkapan terhadap mereka yang melakukan kesalahan jenayah syariah, Kuala Lumpur memerlukan kaedah lebih berhikmah.

Justeru, katanya, bermula 1 Januari ini beliau sendiri akan turun padang di kawasan yang dikenal pasti setiap minggu bersama pegawai penguat kuasa JAWI untuk membendung jenayah melalui cara berjumpa, merayu, nasihat, belai, pandu dan makan bersama pesalah jenayah syariah.

Katanya, pendekatan itu akan turut dilaksanakan terhadap mereka yang ditemui melakukan kesalahan syariah, diintip, dibawa ke mahkamah dan ditangkap.

“Maknanya, sepanjang program turun padang seboleh-bolehnya kita tidak akan tangkap mereka sebaliknya akan diberi nasihat serta bimbingan. Bagaimanapun, bagi kes yang terpaksa kita tangkap, tiada maaf bagimu.

“Kita sedar ada antara mereka menjadi mangsa sindiket serta penipuan, jadi jika mereka ingin berubah dan kembali ke pangkal jalan, kita akan bantu. Lagipun, enam bulan pertama hingga setahun kempen mencegah jenayah syariah ini dijalankan, kita mahu orang ramai faham.

“Di harap hujung 2013 tindakan penguatkuasaan sepenuhnya dapat dilaksanakan. Walaupun JAWI diberi kuasa mengikut Akta 559 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997, kita tidak akan gunakan kekerasan saja,” katanya.

Menyentuh golongan yang banyak terbabit dalam jenayah syariah, Che Mat berkata, orang muda dengan cara mereka begitu juga golongan tua, dengan gelagat mereka pula. Tetapi kedua-duanya terjebak dalam jenayah syariah.

Katanya, mereka yang melakukan kesalahan jenayah syariah itu bukan terdiri daripada golongan jahil agama atau hukum, tetapi suka berpura-pura seakan-akan tidak tahu kerana lebih mengikut kehendak hawa nafsu.

Amaran kepada lelaki

Beliau berkata, pendekatan pendidikan sudah dilaksanakan sejak zaman penjajah hingga sekarang termasuk penubuhan sekolah agama, tetapi malangnya ajaran Islam yang dipelajari tidak diamalkan dalam kehidupan seharian.

“Kerja buruk tidak sepatutnya dilakukan oleh orang Islam kerana agama Islam itu tinggi. Sepatutnya tinggi itu dalam perkara baik dan positif, bukan tinggi dalam perkara tidak baik. Kita bernasib baik ada undang-undang tetapi malangnya kita sendiri tidak menghormati undang-undang,” katanya.

Che Mat turut memberi amaran kepada lelaki yang menggunakan sindiket pernikahan atau melakukan penipuan untuk berpoligami bahawa mereka tidak akan terlepas daripada undang-undang jika ditangkap dan disabitkan kesalahan.

Beliau mengakui ramai lelaki yang ingin berpoligami menjadikan Kuala Lumpur sebagai pusat untuk melakukan pernikahan menggunakan sindiket selain dijadikan transit sebelum membawa pasangan bernikah di negara jiran.

Artikel Lain

Untuk sebarang pertanyaan mengenai iklan teks, hubungi muzainy@mediaprima.com.my untuk maklumat lanjut.

Peta Laman

Hak Cipta Terpelihara 2012 - Berita Harian - The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad Emel kami sebarang maklumbalas.
Resolusi paparan terbaik untuk laman web ini adalah 1024 x 768 tracker

Kembali ke atas