WASHINGTON: Penduduk Israel perlu keluar dari Palestin dan kembali ‘ke kampung halaman’ mereka di Jerman dan Poland, kata Helen Thomas, anggota kanan White House Press Corps, sebuah pertubuhan dianggotai wakil akhbar utama yang memberi tumpuan kepada liputan berita di Rumah Putih.

Dalam rakaman yang disiarkan Youtube, Helen berkata Israel ‘perlu berambus dari Palestin’ dan menambah tanah menjadi rebutan itu hak milik rakyat Palestin, bukan Jerman atau Poland.
Ketika ditanya ke mana orang Yahudi mesti pergi, wakil kanan liputan berita Rumah Putih itu berkata: “Balik ke kampung halaman, ke Poland, Jerman, Amerika atau ke mana saja”.


Dalam taklimat bersama jurucakap Rumah Putih Robert Gibbs, Helen mengkritik reaksi Amerika terhadap serbuan Israel ke atas konvoi bantuan kemanusiaan ke Gaza: “Reaksi awal AS kepada pembunuhan di kapal Mavi Marmara sesuatu yang amat dikesali”. – Agensi