SIBU: Perjalanan lebih sejam dari pangkalan jeti di bandar Sibu menggunakan bot laju menyusuri sungai terpanjang di negara ini, Sungai Rajang sudah cukup menggambarkan keperitan hidup terpaksa dilalui etnik minoriti Melanau di Parlimen Sibu.
Menempuh kehidupan serba sederhana walaupun tanpa kemudahan asas seperti air bersih, bekalan elektrik dan jalan raya, mereka masih tetap menaruh kepercayaan tinggi kepada Barisan Nasional (BN) untuk membela nasib dan masa depan mereka.
Sekurang-kurangnya, menerusi calon baru yang bertanding pada pilihan raya kecil di Parlimen Sibu, Robert Lau Hui Yew, penduduk Kampung Bungan seramai lebih 300 orang di situ dapat mengharapkan masa depan yang lebih baik.
Pemangku ketua masyarakat di kampung Bungan Besar, Ali Sidu, 49, berkata, penduduk di dua kampung Melanau di Parlimen Sibu itu sudah sekian lama dahagakan tiga kemudahan asas yang amat penting itu.
“Selepas ini (pilihan raya kecil) jika BN dapat mengekalkan kerusi Parlimen Sibu, kami berharap supaya kemudahan asas ini dapat disalurkan segera ke kampung kami, katanya kepada Berita Harian.
“Sekarang kami terpaksa memasak makanan dan minum air hujan, serta mandi air Sungai Igan yang keruh. Jika kemarau bekalan air hujan sering terputus. Air hujan disimpan dalam tangki juga perlu kerap kali diperiksa kerana dikhuatiri menjadi tempat pembiakan nyamuk adeas. Semua ini, menyukarkan kehidupan kami,” katanya kepada Berita Harian.
Kampung Bungan Besar yang mempunyai 82 keluarga dan Bungan Kecil adalah antara penempatan etnik Melanau beragama Kristian paling terpencil di Parlimen Sibu.
Kebanyakan penduduk di kawasan itu bekerja sebagai petani, nelayan sungai dan mengusahakan tanaman rumbia. Pengundi Melanau mewakili satu peratus daripada 52,158 pengundi berdaftar di Parlimen Sibu.
Walaupun, jumlah itu kecil, ia penting diambil kira kerana kawasan Parlimen Sibu sering kali merekodkan kemenangan dengan majoriti amat tipis.
Ali berkata, sebelum ini ada cadangan kerajaan membina kemudahan jalan raya menghubungkan kampung Melanau di situ dengan bandar Sibu.
“Jalan raya melalui kawasan ladang kelapa sawit sudah dibina. Sekarang kita perlukan jalan raya menghubungkan Kampung Bungan dengan jalan raya di ladang kelapa sawit. Jika sudah ada kemudahan ini, urusan rasmi di bandar Sibu menjadi lebih mudah. Ia termasuk bagi kegunaan memasarkan hasil pertanian,” katanya.
Fatimah Atop, 42, berharap BN dapat menyediakan kemudahan asas khususnya bekalan air dan elektrik secepat mungkin bagi mereka.
Tinjauan Berita Harian di kampung itu mendapati kebanyakan penduduknya berhijrah ke bandar Sibu untuk menyara hidup. Yang tinggal di kampung majoritinya adalah golongan yang sudah berusia.