BAHAGIAN Pengurusan Hartanah (BPH) Jabatan Perdana Menteri (JPM) ingin merujuk kepada surat bertajuk ‘Sistem agihan kuarters kerajaan tak cekap’ oleh 'PENGHUNI KUARTERS' yang disiarkan dalam ruangan ini bertarikh 12 Oktober lalu.

Pengadu mengaitkan antara kaedah agihan kuarters dan masalah penyalahgunaan kemudahan itu oleh penjawat awam. Bagaimanapun, BPH kurang bersetuju dengan pandangan berkenaan.
Menyalahgunakan kemudahan kuarters dengan menyewakan kepada pihak lain, kegiatan sumbang seperti berkhalwat, menjadikan bengkel membaiki kenderaan, premis perniagaan dan lain-lain adalah berpunca dari sikap tidak menghormati peraturan oleh segelintir penjawat awam.


Sepanjang tempoh 10 bulan lalu, sebanyak 173 operasi dijalankan. Melalui operasi itu seramai 420 penghuni dikenakan tindakan denda, dikeluarkan dari kuarters, diberi notis tunjuk sebab dan dimaklumkan kepada ketua jabatan masing-masing bergantung kepada kesalahan yang dilakukan.

Kaedah agihan kuarters mengikut senarai menunggu dan juga berdasarkan rayuan. Ketika ini, seramai 7,842 penjawat awam dari pelbagai gred dan kelas masih menunggu giliran kuarters di Putrajaya, manakala seramai 5,237 penjawat awam lagi masih menunggu giliran kuarters di Kuala Lumpur.

BPH menerima lebih 100 rayuan kuarters setiap minggu. Pertimbangan dan keutamaan rayuan diberikan kepada yang berpindah dari luar Putrajaya, seperti pemandu jabatan, setiausaha pejabat, orang kurang upaya (OKU), pemohon mempunyai masalah kesihatan, kepentingan serta fungsi tugas dan tinggal jauh dari pejabat.

Tanggapan bahawa BPH menawarkan kuarters kepada pihak yang tidak memerlukan adalah kurang tepat. Hanya penjawat awam yang memerlukan kuarters saja yang akan merayu dan menerima tawaran.
Penjawat awam yang menduduki kuarters akan kehilangan sebahagian pendapatan kerana tidak akan menerima Imbuhan Tetap Perumahan (ITP) dan 50 peratus Bantuan Sara Hidup (COLA).

Penyerahan dokumen sokongan dan pengesahan maklumat perlu dibuat semasa proses memasuki kuarters termasuk pengesahan daripada ketua jabatan.

BPH juga sedang meneliti semula peraturan membenarkan penjawat awam bujang menduduki satu unit kuarters kerana bilangan kuarters semakin terhad dan tiada kuarters baru yang akan dibina dalam Rancangan Malaysia ke-10.

Berhubung cadangan agar BPH mencontohi sistem agihan rumah yang dilaksanakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), BPH akan membuat penelitian sekiranya sesuai untuk dilaksanakan.

Sekiranya pengadu mempunyai sebarang pertanyaan berkaitan, pengadu boleh menghubungi BPH di talian 03-8888 6868 atau melayari laman sesawang BPH di www.bph.gov.my.

HASNOL ZAM ZAM AHMAD,
Setiausaha Bahagian,
BPH JPM.