Ismail berkata, hak untuk mengadakan perhimpunan bagi menyambut kemerdekaan negara adalah milik setiap rakyat di negara ini, namun berharap pihak penganjur tidak membawa sebarang agenda lain untuk kepentingan pihak tertentu.
"Tapi saya harap mereka tidak bawa agenda untuk kepentingan pihak tertentu dan membelakangkan undang-undang negara," katanya kepada pemberita sempena lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, lebih 20 pertubuhan bukan kerajaan akan menganjurkan Himpunan Janji Bersih sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 di Dataran Merdeka pada malam 30 Ogos.
Ismail berkata, penganjur perhimpunan juga perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan dalam Akta Perhimpunan Aman 2012, jika mahu mengadakan sebarang perhimpunan.
Katanya, polis sentiasa berada dalam tahap bersedia dan keadaan terbaik untuk menghadapi sebarang situasi yang memerlukan kawalan keselamatan. - BERNAMA
