SABAN tahun, ramai guru mengemukakan permohonan pertukaran atas alasan tertentu. Alasan ini kadangkala tidak dapat dielakkan seperti cukup tempoh perkhidmatan, berkahwin, mengikut suami atau isteri dan sakit kronik. Namun, ada juga alasan yang pada hakikatnya wajar diberikan pertimbangan serius seperti menjaga ibu bapa yang tua dan uzur, selain ingin memberi perkhidmatan yang lebih baik.

Kita tidak dapat menafikan, pengetua selaku ketua jabatan dan majikan berhak menyokong atau tidak permohonan itu. Pengetua juga perlu profesional membuat pertimbangan.
Ada guru tidak gembira dengan persekitaran sekolah. Masalah kelemahan pentadbiran, sistem senioriti antara guru baru dan lama, disiplin pelajar atau persekitaran yang tidak rasi dengan jiwa mereka menyebabkan guru yang kebanyakannya baru bertugas, mengambil keputusan mengemukakan permohonan pertukaran sekolah. Bayangkan, mereka menjejakkan kaki ke sekolah ketika penempatan pertama dengan semangat berkobar-kobar untuk mengajar dan mendidik anak bangsa, namun permasalahan di atas ternyata membunuh keazaman, iltizam, bakat dan semangat dalam sekelip mata. Ini kerugian kepada semua pihak.


Kita harus melihat situasi ini secara holistik. Jika pertukaran itu mampu memberikan impak kepada pelajar, guru dan sistem pendidikan seperti lebih bersemangat untuk mengajar, meningkatkan mutu perkhidmatan dan semangat di sekolah yang baru, mengapa tidak menyokong permohonan itu? Bukankah ia lebih baik kerana apabila guru mengemukakan permohonan pertukaran, bermakna ada kekangan memberi khidmat terbaik.

Soal pertukaran diluluskan atau tidak, bergantung kepada Kementerian Pelajaran yang mempunyai formasi profesional dalam mengurus penempatan guru. Jelasnya, pengetua perlu profesional dan tidak menyeksa guru dengan menolak permohonan pertukaran meskipun alasannya kukuh dan relevan.

GURU HOLISTIK,
Kuala Lumpur.