Ipoh: Pelakon veteran, Mahmud Jalani (gambar), 70, atau lebih dikenali sebagai Pak Mood meninggal dunia ketika membuat pementasan teater Bangsawan Wan Anum di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri (JKKN), di sini, malam kelmarin.


Penggiat bangsawan itu dipercayai terkena serangan jantung dan rebah di atas pentas sehingga penonton menyangkakan ia sebahagian daripada gimik awal persembahan teater berkenaan.Rebah atas pentas


Malah, sebelum itu, pelakon berkenaan sempat melawak mengatakan lampu di atas pentas terlalu terang sebelum dia rebah dan tidak sedarkan diri.

Aktivis Teater dan Puisi Badan Budaya Perak yang juga rakan baik Allahyarham, Rashidi Kharis, 45, berkata pihak pengelola teater berkenaan menyedari Allahyarham pengsan selepas mendapati ia bukan sebahagian daripada aksi persembahan.

“Kami bergegas ke hadapan pentas dan mendapati Mahmud tidak sedarkan diri. Beliau disahkan meninggal dunia kira-kira jam 9 malam tadi (kelmarin) ketika dalam perjalanan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB),” katanya ketika ditemui di Bilik Forensik HRPB, di sini, semalam.