SAN FRANCISCO: Penggodam yang tidak diketahui identiti mereka mensasarkan akaun Twitter dengan mengakses kira-kira 250,000 akaun pengguna, minggu ini, tetapi hanya berjaya mendapatkan maklumat tertentu seperti alamat e-mel.

Menurut laman rangkaian sosial itu, Twitter sudah menangani isu itu khususnya menukar semula kata laluan pengguna yang terbabit dengan ancaman penggodam dan mereka akan dimaklumkan tidak lama lagi.
Serangan siber itu, katanya, berlaku beberapa hari selepas New York Times dan Wall Street Journal mendedahkan bahawa mereka menjadi sasaran usaha penggodaman terancang.

"Serangan itu bukan kerja amatur dan kami tidak percaya ia adalah kes terpencil. Kumpulan penggodam itu sangat canggih dan kami percaya syarikat lain serta pertubuhan turut mengalami serangan sama," katanya di sini, hari ini. - Reuters