gambar sebelum  gambar berikut
Foto

Amir Zuhaidi didukung bapanya, Razali Harun selepas mendapat keputusan 5A di Sekolah Kebangsaan (SK) Ketereh, semalam.

Foto

Pasangan kembar Nur Athiran (kiri) dan Nur Atirah (kanan) bersama ibu mereka, Hasliza Abd Ghani, menunjukkan slip keputusan UPSR di Sekolah Kebangsaan Pelagat, Jertih. - Foto MOHAMAD ISHAK

Kuala Lumpur: Mereka melangkah masuk ke sekolah masing-masing semalam dengan penuh debaran, tetapi beberapa ketika kemudian, beredar sambil tersenyum lebar.

Wajah masing-masing girang ketika melihat keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2013, namun di sebalik kejayaan yang dilakar, tersembunyi pelbagai kisah yang boleh dijadikan teladan.
Di Kota Bharu, Amir Zuhaidi Razali, 12, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Ketereh yang menghidap penyakit saraf akibat dilanggar lari ketika berusia enam tahun, tidak menjadikan kekurangan fizikal dan kewangan penghalang untuknya mendapat 5A.

Hadiah buat ayah

“Saya sangat bangga dan menghadiahkan kejayaan ini buat ayah yang sanggup berulang-alik menghantar saya ke sekolah,” kata anak tukang rumah ini sambil menambah, walaupun sukar menulis dan tidak dapat aktif seperti rakan lain, dia tetap menguatkan semangat apatah lagi hanya mampu memperoleh 3A 2B dalam percubaan lalu.

Di Shah Alam, kehidupan serba kekurangan dalam komuniti Orang Asli tidak menghalang Anisa Yahya dari SK Asli Bukit Cheding, muncul anak Orang Asli tunggal di Selangor mendapat 5A.

Anak bongsu daripada sembilan beradik itu tidak menyangka mampu cemerlang kerana jarang mengulangkaji di rumah.
“Untuk berjaya, saya mengamalkan sikap rajin bertanya apa yang tidak difahami, sentiasa memberi sepenuh perhatian apa yang diajar dalam kelas dan belajar secara berkumpulan,” katanya bercita-cita menjadi pereka fesyen.

Di Port Dickson, Choi Kee Fong, 12, mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi calon tunggal UPSR di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ladang Siliau dan berjaya pula mendapat 7A, kali pertama dalam sejarah sekolah berkenaan yang ketika ini hanya mempunyai 11 murid dari Tahun Satu hingga Enam.

Anak pekebun sayur

Anak kedua daripada empat beradik kepada pasangan pekebun sayur di Lukut ini, berkata banyak keistimewaan menjadi calon tunggal kerana dia yang diajar tujuh guru, mendapat tumpuan eksklusif dalam kelas walaupun tiada teman sekelas untuk belajar bersama.

Di Alor Setar, beban penyakit buah pinggang sejak usia dua tahun yang memaksa Muhammad Zaim Mohd Zaidi, 12, sering bercuti sakit, langsung tidak menghalangnya memperoleh 5A, sekali gus muncul antara 43 pelajar cemerlang di Sekolah Rendah Islam Darul Aman (SRIDA) di sini.

“Saya sering ponteng kerana sakit, terpaksa mengambil inisiatif sendiri mengulangkaji pelajaran sehingga lewat malam ketika di rumah. Saya bersyukur kerana rakan sekelas serta guru banyak membantu memberi tunjuk ajar.

Saya sebenarnya tidak mahu memberi alasan sakit dan gagal dalam UPSR,” kata anak sulung daripada enam beradik ini.

Berita lanjut dapatkan akhbar BH hari ini