Laman Utama » Rencana
Pengumuman calon Barisan Nasional diselubungi kejutan, misteri
Oleh Misiah Taib
2011/04/05
DISULAMI kejutan, diakhiri misteri. Itu yang berlaku pada majlis sidang media pengumuman nama calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-10 di Kuching, kelmarin.
Pengumuman rasmi nama calon pada asalnya dijanjikan jam 3 petang, hanya bermula selepas mesyuarat BN jam 5.45 petang kelmarin dengan kejutan pertama berlaku seawal jam 2.20 petang apabila penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga, Simoi Peri, 47, menjadi antara yang paling awal tiba di pekarangan Ibu pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Jalan Bako, Kuching.
Simoi sudah mengumumkan tidak mempertahankan kerusi DUN Lingga pada sidang media di Miri 30 Mac lalu, atas alasan mahu menumpukan perhatian kepada kerja kebajikan dan perniagaan, justeru, kemunculannya mengejutkan pihak media yang membuat liputan.
“Kamek (saya) disuruh datang. Hari marek (semalam, Sabtu) sidak (mereka) ‘all’ nyuruh (suruh) kamek datang hari tok (hari ini). Kamek pun terkejut,” kata Simoi sebaik dihampiri penulis.
Calon wanita akan mempertahankan kerusi itu buat penggal kedua, sempat berbisik bahawa Setiausaha Sulit Kanan (SUK) kepada Ketua Menteri Sarawak, Datuk Mustapha Khan, menghubungi telefon bimbitnya jam 2.30 petang kelmarin, meminta beliau datang, selain meminta nombor kad pengenalannya.
Ketika ditanya mengapa beliau mengumumkan mengundur diri terlalu awal sebelum nama calon BN diumumkan secara rasmi, Simoi hanya menjawab ringkas: “Itu strategi politik. Yang penting saya diberi kepercayaan sekali lagi dan saya akan memikul amanah ini sebaik mungkin, Insya-Allah,” katanya.
Sebelum ini nama seorang pesara tentera, Kol (B) Awangku Jamuddin Pengiran Kon, 56, yang juga Setiausaha Politik Ketua Menteri dan bekas Pengarah KEMAS, disebut-sebut bakal menggantikan Simoi.
Nama Simoi dikatakan menjadi pilihan muktamad pucuk kepemimpinan BN, berikutan beliau yang berkelulusan Ijazah Syariah dari Universiti Malaya (UM) memiliki ciri-ciri calon boleh menang, termasuk mempunyai pengaruh kuat di kalangan ketua masyarakat, ketua kaum dan pengundi wanita.
Pada pertemuan tertutup sebelum pengumuman calon, Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud, dikatakan turut memberi nasihat kepada calon BN supaya bekerja keras dan mengingatkan mereka mengenai taktik pembangkang yang sanggup menggunakan apa saja cara termasuk menyebarkan propaganda dan fitnah menerusi media baru khususnya blog. Setiap calon diminta lebih bersedia dan tidak memandang ringan cabaran pembangkang pada pilihan raya kali ini, biarpun semua maklum BN masih diterima baik oleh rakyat Sarawak.
Bagi kerusi DUN Pelagus yang menjadi kontroversi sebelum ini berikutan penyandangnya yang juga Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri, Larry Sng Wei Shien, sudah dipecat keanggotaan Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan menjadi wakil rakyat BN tunggal tanpa parti, penampilan calon baru di situ juga agak mengejutkan kerana spekulasi sebelum ini menyebut besar kemungkinan Larry dikekalkan sebagai calon langsung BN.
Bekas Pengurus Sarawak Energy, Stanley Nyitar @ Unja Malang, 57, bertanding atas tiket BN di DUN Pelagus dengan Presiden PRS, Datuk Seri Dr James Masing menyifatkan Stanley sebagai calon boleh menang yang diterima pengundi.
PBB selaku parti tonggak BN menampilkan 10 muka baru daripada 35 calonnya dengan lapan daripadanya pemimpin muda dan berkelayakan iaitu Dr Hazland Hipni, 46, bagi DUN Demak Laut; Maclaine Ben @ Martin Ben, 48, (Kedup); Aidil Lariwoo, 39, (Sadong Jaya); Ricky @ Mohammad Razi Sitam, 38, (Saribas), Abdullah Saidol, 45, (Semop); pakar jantung, Dr Anuar Rapee, 45, (Nangka); Ripin Lamat, 41, (Lambir) dan Dennis Ngau Jok, 43; (Telang Usan).
Dua lagi muka baru PBB ialah bekas Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Razaili Gapor, 53, (Beting Maro) dan Timbalan Setiausaha Kementerian Perancangan dan Pengurusan Sumber, Datuk Len Talif Salleh, 58, (Belawai).
Enam muka baru Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) pula terdiri daripada Sim Khiang Chiok, 49, (Padungan); Prof Dr Sim Kui Hian, 46, (Pending); Sih Hua Tong, 47, (Batu Lintang); Lie Kie King, 51, (Meradong); Cheng Buong Toon, 59, (Bukit Assek) dan Henry Lin Kuong Meng, 49, (Kidurong) dan Datuk Tiong Thai King, 66, (Dudong).
Bagi DUN Kota Sentosa, Datuk Alfred Yap Chin Loi, 58, yang dicalonkan di situ bukanlah muka baru dalam SUPP kerana beliau pernah bertanding dan menang beberapa kali sebelum ini, namun kalah pada 2006. Yap juga sebelumnya adalah Menteri Muda di Sarawak.
Bagi kerusi DUN Dudong, calonnya Datuk Tiong Thai King, 66, juga bukan baru dalam politik Sarawak kerana beliau adalah juga Ahli Parlimen Lanang dan pemilik syarikat Rimbunan Hijau.
Parti Rakyat Sarawak (PRS) mencalonkan semula tujuh penyandangnya, seorang muka lama yang pernah dicalonkan tetapi kalah pada 2006, iaitu Alexander anak Vincent 49, serta seorang muka baru iaitu Stanley di DUN Pelagus.
Ketika PBB, SUPP dan PRS sudah menamakan masing-masing 35, 19 dan sembilan calonnya, senarai calon BN dari Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) masih diselubungi misteri apabila tujuh daripada lapan calonnya diumumkan kelmarin menyaksikan semua penyandang dikekalkan.
Kerusi DUN Ba'kelalan menjadi misteri apabila tiada calon diumumkan bagi kerusi berkenaan, sedangkan Presiden SPDP, Datuk Seri William Mawan Ikom, mengakui sudah mengemukakan penyandang kerusi itu, Nelson Balang Rining, 55, untuk mempertahankan kerusi berkenaan.