Laman Utama » Rencana

Pengundi DUN Balingian sudah sebati kemajuan pesat dibawa Taib

Oleh Misiah Taib
bhnews@bharian.com.my
2011/04/07
Share |
LAUNGAN 'Tudip BN' (Hidup Barisan Nasional) dan 'Tudip Pehin Seri' bergema di pekarangan Dewan Suarah Mesra Mukah sebaik Tan Sri Abdul Taib Mahmud, tiba di dewan berkenaan untuk menyerahkan borang pencalonannya pagi semalam.

Bagi Ketua Menteri yang sudah menjangkau usia 75 tahun itu, gema sokongan sedemikian bukan perkara baru, kerana sejak mula menyertai pilihan raya negeri Sarawak pada 1981, sehingga sekarang, beliau mendapat sokongan padu pengundi di mana saja beliau bertanding. Ini kali ketiga Abdul Taib bertanding mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian, selepas berpindah dari DUN Asajaya diwakilinya sejak 1981. Tiada siapa dapat menafikan sentuhan pembangunan yang begitu pesat dibawa Abdul Taib bukan saja di setiap kawasan DUN dan Parlimen yang pernah dan sedang diwakilinya, malah di seluruh pelosok negeri ini.

Rakan media dari Semenanjung yang membuat liputan kali pertama ke Mukah juga kagum dengan pembangunan yang mereka saksikan sendiri di situ, yang dulu hanya sebuah pekan kecil terpencil, tanpa bangunan tinggi dan sistem jalan raya yang baik.

Kali ini, Abdul Taib yang sudah 30 tahun menerajui Sarawak dan sudah mengumumkan akan berundur dalam tempoh dua hingga tiga tahun dari sekarang, dicabar sepupunya, Datuk Salleh Jafaruddin, 67, yang bertanding atas tiket Bebas dan seorang calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Suriati Abdullah, 50.

DUN Balingian bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara dua lulusan undang-undang, Abdul Taib dan Salleh, dengan seorang lepasan Tingkatan Lima, Suriati. Salleh berasal dari Kampung Datu di Mukah, manakala Suriati berasal dari Selangau, tidak jauh dari Mukah.
Menariknya, selain Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, selaku Timbalan Pengerusi BN mengiringi Abdul Taib bersama kira-kira 5,000 penyokong BN berarak ke pusat penamaan calon semalam, dua penyandang BN, Datuk Awang Bemee Ali Basah, yang digugurkan daripada mempertahankan kerusi DUN Nangka dan Aidan Wing (Lambir), turut mengiringi Abdul Taib.

Malah kedua-duanya berikrar membantu calon BN berkempen untuk memastikan kemenangan besar BN, dengan Aidan sendiri mengakui akan berkempen di DUN Balingian, bagi memastikan kemenangan BN dengan majoriti lebih besar.

Namun, kemunculan Salleh lebih dilihat sebagai ‘dendam lama’ dan ‘luka lama berdarah kembali’. Bekas Timbalan Menteri Pelajaran itu adalah antara yang cuba menjatuhkan Abdul Taib sejak 1986 dan antara yang terbabit dalam peristiwa Ming Court pada 1987.

Dendam lama yang membara jelas terlihat apabila Salleh terang-terangan mengakui kepada media beliau bertanding bukan kerana menentang BN tetapi kerana mahu menyingkirkan Abdul Taib daripada menerajui Sarawak.

Atas alasan Abdul Taib terlalu lama jadi Ketua Menteri dan kononnya berlaku penyelewengan dan rasuah, beliau mahu bertanding sebagai wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyokong perjuangan BN tetapi menentang kepemimpinan Abdul Taib.

Namun, Muhyiddin semalam menegaskan hanya calon yang bertanding dengan lambang dacing iaitu lambang BN, mendapat sokongan BN Pusat dan pimpinan pada peringkat Pusat.

Justeru, pengundi di Sarawak diminta supaya berwaspada dan jangan termakan tipu daya calon bukan BN yang mungkin menggunakan nama pemimpin Pusat untuk meraih sokongan.

Salleh juga cuma diiringi empat penyokong, isterinya, Datin Sharifah Hajijah Syed Jamil; seorang lagi bekas Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Bujang Ulis, yang juga pernah terbabit dalam peristiwa Ming Court serta pencadang, Masni Joll, 60, dan penyokong, Henry Chua, 60.

Calon PKR, Suriati diiringi kira-kira 50 penyokong, pula mendakwa sudah cukup bersedia untuk berdepan dua lawan ‘heavyweight’ yang lebih berpengalaman dalam politik.

“Saya bangga kerana diberi kepercayaan pucuk pimpinan PKR untuk berdepan calon yang hebat di DUN Balingian,” katanya yang juga seorang peniaga.

Ketika Salleh kononnya mahu membawa isu kepemimpinan terlalu lama, rasuah dan salah guna kuasa, Suriati pula mahu membawa isu tanah dan pencemaran alam sekitar.

Apa yang pasti, kedua-duanya tidak membawa isu yang jelas dalam membela nasib rakyat, yang pasti sukar diterima pengundi di Balingian, apa lagi rata-rata rakyat di Mukah sudah menikmati nikmat pembangunan pesat dibawa Abdul Taib ke kawasan berkenaan.

Demokrasi berparlimen sememangnya memberi ruang kepada sesiapa saja untuk bertanding, hatta seorang petani, peniaga atau penganggur sekali pun.
Namun, kalau seseorang itu bertanding setakat untuk menyekat seseorang daripada menang tanpa bertanding, apatah lagi calon tidak diketahui kewibawaannya, ia seolah-olah mempermainkan kebebasan demokrasi itu sendiri.

Tidak hairanlah rata-rata penduduk Mukah ditemui semalam, mengakui sokongan mereka tetap kepada BN dan Abdul Taib, Bapa Pembangunan Sarawak yang mempunyai rekod cemerlang membangunkan negeri dan sudah membawa perubahan besar kepada Balingian.
Artikel Lain