header

Pengundi DUN Kerdau matang buat pilihan berdasarkan realiti

HUJAN lebat di Temerloh menjelang Maghrib seolah-olah membawa rahmat kepada penyokong Barisan Nasional (BN) yang menang bergaya di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau, kelmarin.

Cuaca panas sebelum itu hingga ke petang turut membawa makna besar apabila peratusan pengundi keluar melaksanakan tanggungjawab mereka memilih pemimpin juga meningkat kepada 83.2 peratus, sekali gus mengatasi dua Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum ini iaitu pada 2008 dan 2004.

Justeru, tanggungjawab pengundi DUN Kerdau untuk memilih wakil rakyat baru yang mampu membela dan menawarkan perkhidmatan terbaik dengan mengundi BN membolehkan Syed Ibrahim Syed Ahmad atau lebih dikenali sebagai Syed Ibra mencatat kemenangan besar bagi mempertahankan kerusi BN di situ. Tambah menarik, apabila BN menang di semua 13 pusat mengundi membabitkan 22 saluran sama ada di kawasan yang majoritinya kaum Melayu, India, Cina, Orang Asli dan kaum lain.

Rekod cemerlang BN yang ditunjukkan pada pilihan raya sebelum ini diperkukuhkan lagi apabila sokongan Melayu meningkat kepada kira-kira 70 peratus, diikuti Cina (72 peratus) dan India (80 peratus). Pada PRU 2008, sokongan Melayu ke atas BN hanya 58 peratus, Cina (54 peratus) dan India 68 peratus.

Pilihan raya DUN Kerdau juga menunjukkan BN terus menguatkan cengkamannya di kawasan majoriti Melayu di kampung tradisional serta FELDA Jengka 23, 22 dan 25 termasuk mengurangkan sokongan parti pembangkang di tanah rancangan berkenaan.

BN juga terus menjadi pilihan pengundi di kebanyakan pusat mengundi yang majoriti penduduk Melayu seperti Rumpun Makmur, Kuala Tekal, Pulau Pasir Mandi, Lipat Kajang, Desa Murni dan Telok Sentang, selain sokongan pengundi Cina dan India yang mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kerdau juga semakin meningkat apabila BN menang majoriti besar di pusat mengundi berkenaan.
BN juga mendapat kepercayaan masyarakat Orang Asli di DUN Kerdau yang menunjukkan kesetiaan tidak berbelah-bahagi mereka kepada kerajaan kerana yakin dengan kemajuan yang diberi kepada mereka, malah menikmati kehidupan selesa pada masa ini.

Kemenangan bergaya BN itu jelas menunjukkan strategi kempen dari rumah ke rumah bagi mendekati pengundi dan kerjasama erat petugas BN dari seluruh negara berganding bahu memberi pemahaman mengenai dasar kerajaan memberi keyakinan tinggi kepada pengundi untuk terus setia bersama BN.

Penghargaan juga patut diberi kepada 7,487 daripada 8,999 pengundi di DUN Kerdau yang menunaikan tanggungjawab pada pilihan raya kecil ini, bagi memilih wakil rakyat baru yang boleh membawa lebih banyak kemakmuran dan kesejahteraan kepada mereka.

Pengundi di situ menunjukkan kematangan fikiran kerana membuat pilihan berdasarkan realiti terhadap apa yang sudah dinikmati hasil bantuan kerajaan BN dan bukannya terpedaya dengan janji manis dan cakap-cakap kosong yang ditabur pembangkang.

Keyakinan pengundi muda juga tidak boleh dipersoalkan dan ia terbukti dengan menterjemahkan keyakinan mereka menerusi undi masing-masing, sekali gus membolehkan BN melonjakkan majoriti undi sekali ganda berbanding sebelum ini.

Di kalangan peneroka FELDA, peningkatan sokongan menunjukkan mereka menolak isu tidak berasas yang dibawa pembangkang, yang hanya bertujuan meraih simpati.

Peningkatan harga komoditi seperti sawit dan getah yang menjadi sumber ekonomi utama penduduk DUN Kerdau juga memberi kelebihan kepada BN.

Kesimpulannya, keputusan yang diperoleh dalam pilihan raya kecil ini menjadi bukti kukuh bahawa rakyat menolak pembangkang biar apa pun yang dijanjikan kerana mereka sudah matang membuat perbandingan bagi menilai kebenaran.

Bagi pengundi, pilihan raya kecil bukan medan membuat percubaan mengubah cita rasa kerana ia akan membawa kerugian besar untuk jangka panjang, sekali gus mereka di sini mengamalkan sikap sama seperti bidalan Melayu – `bila mendengar guruh di langit, air tempayan dicurah jangan'.


CALON Barisan Nasional (BN), Syed Ibrahim Syed Ahmad menunjukkan isyarat bagus kepada jurufoto media selepas diumumkan memenangi kerusi DUN Kerdau pada pilihan raya kecil DUN Kerdau di pusat penjumlahan rasmi undi, Dewan Tun Razak, Temerloh. - Foto Sairien Nafis
Mar 7, 2011 12:19 am
CALON Barisan Nasional (BN), Syed Ibrahim Syed Ahmad dijulang oleh penyokong selepas diumumkan menang bagi DUN N.28 Kerdau di Dewan Tun Razak, Temerloh. - Foto Luqman Hakim Zubir
Mar 7, 2011 12:13 am
NAIB Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bersama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob mengangkat tangan calon Barisan Nasional (BN), Syed Ibrahim Syed Ahmad ketika diumumkan memenangi pilihan raya kecil N.28 DUN Kerdau di Pusat Penjumlahan Rasmi Dewan Tun Razak, Temerloh. - Foto Mohd Fadli Hamzah
Mar 7, 2011 12:12 am
CALON Barisan Nasional (BN) DUN Kerdau, Syed Ibrahim Syed Ahmad mengangkat tangan selepas diumumkan menang DUN Kerdau dengan majoriti 2,724 di Dewan Tun Razak, Temerloh. - Foto Luqman Hakim
Mar 7, 2011 12:08 am
CALON Barisan Nasional, Syed Ibrahim Syed Ahmad disambut ketika meluangkan masa meninjau peti undi di Jengka 25. - Foto Mohd Fadli Hamzah
Mar 6, 2011 4:17 pm
KEADAAN lalu lintas di SMK Kerdau semasa hari pengundian pilihan raya kecil DUN Kerdau. - Foto Ahmad Al-Arfan Malik
Mar 6, 2011 4:12 pm
GELAGAT penyokong Barisan Nasional yang berhimpun di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Kerdau untuk meraih undi. - Foto Syed Abdullah Syed Nordin
Mar 6, 2011 4:08 pm
PENGANTIN baru, Marni Azlina Deraman, 26, sejurus keluar selepas membuang undi sambil diiringi suami, Mohd Saharul Hisham Hashim, 27, di Pusat Pembuangan Undi, Sekolah Kebangsaan (LKTP) Jengka 23. - Foto Sairien Nafis
Mar 6, 2011 4:06 pm
JENTERA Barisan Nasional menyediakan kemudahan bot untuk pengundi yang tinggal berhampiran Sungai Pahang untuk pergi mengundi. - Foto Syed Abdullah Syed Nordin
Mar 6, 2011 4:04 pm
CALON Barisan Nasional, Syed Ibrahim Syed Ahmad dijulang tangan ketika berjalan dihadapan peraih undi PAS ketika meninjau peti undi Jengka 25. - Foto Mohd Fadli Hamzah
Mar 6, 2011 4:01 pm

DUN Kerdau: Suasana penjumlahan undi dan pengumuman rasmi

Pautan Berkaitan