Penjagaan kesihatan mulut
Lakukan pemeriksaan enam bulan sekali, jadikan aktiviti menyeronokkan

Benarkah, mencabut gigi sebelum usia enam tahun boleh menyebabkan rabun?

“Tidak benar sama sekali. Ia hanyalah mitos. Urat mata tidak bersambung dengan gigi.
Tidak timbul masalah mencabut gigi pada usia muda menyebabkan mata rabun atau pun buta. Malah, melalui pengalaman saya pernah mencabut gigi bayi baru berusia dua bulan dan tidak berlaku sebarang komplikasi.” Itu yang dijelas dan ditegaskan, Presiden Persatuan Doktor Pergigian Malaysia (MDA), Dr Haja Badrudeen Sirajudeen. Beliau menjawab mitos yang menjadi halangan segelintir ibu bapa membawa anak mereka untuk melakukan pemeriksaan di klinik gigi berhampiran.



Hakikatnya, tiada sebarang mitos mengenai penjagaan gigi dan kawasan sekitar mulut. Malah, kesihatan mulut adalah kunci kepada kesihatan anggota tubuh badan secara menyeluruh sama ada kalangan kanak-kanak mahupun dewasa.

Oleh itu, penjagaan perlu dimulakan sejak bayi mulai tumbuh gigi. Diikuti, mendisiplinkan kanak-kanak untuk menggosok gigi, dua kali sehari menggunakan berus gigi yang tepat.

Enggan buat pemeriksaan
Antara faktor dikenal pasti, kanak-kanak malah juga orang dewasa tidak gemar melakukan pemeriksaan gigi adalah kerana ia dilakukan secara ‘wajib’, bukannya secara sukarela.

“Kanak-kanak Tahun 1, umpamanya yang tidak pernah dibawa oleh ibu bapa memeriksa gigi, tentulah fobia apabila disuruh membuka mulut oleh doktor gigi. Bagi sesetengah kanak-kanak yang tidak biasa, tentulah fobia itu boleh terbawa-bawa hingga ke dewasa.

“Sebab itu saya suka menggalakkan ibu bapa dan anak buat pemeriksaan gigi enam bulan sekali, di klinik gigi sebagai salah satu daripada aktiviti menyeronokkan dalam keluarga. Itu tabiat dan permulaan yang baik untuk mereka biasa dengan persekitaran penjagaan dan rawatan gigi,” katanya.

Dr Haja berkata, kajian menunjukkan bukan kanak-kanak saja berhadapan masalah penjagaan kesihatan mulut, sebaliknya turut berlaku pada orang dewasa.

“Bagi pesakit yang melalui pembedahan berkaitan jantung, kebersihan gigi menjadi keutamaan kerana bakteria kawasan itu dikhuatiri berjangkit pada bahagian berkaitan. Kalangan pesakit diabetes pula lebih terdedah kepada penyakit gusi serius dan berpotensi menjejaskan kawalan glukos dalam darah serta menyumbang kepada diabetes,” katanya.

Galak sertai aktiviti

Tinjauan Kesihatan Oral Kebangsaan (NOHSA) ke atas orang dewasa pada 2010, mendapati 52.4 peratus golongan itu menganggap mereka mempunyai kesihatan mulut yang baik sedangkan 98.3 peratus dewasa memerlukan perawatan gigi.

Kajian turut mendedahkan, 88.9 peratus mempunyai masalah gigi rosak dan 94 peratus mengalami masalah gusi.

Dr Haja ditemui pada Kempen Bulan Kesihatan Mulut anjuran Colgate dan mendapat kerjasama daripada MDA baru-baru ini. Majlis dirasmikan Pengarah Kanan Kesihatan Bahagian Pergigian, Kementerian Kesihatan, Dr Khairiyah Abdul Muttalib. Turut hadir Pengarah Urusan Colgate-Plamolive Malaysia, Singapura dan Brunei, John Hazlin.

Mendekatkan orang ramai dengan kesihatan gigi, sekali gus memperoleh maklumat berguna berhubung penjagaan gigi, Dr Haja mencadangkan orang ramai menyertai aktiviti pergigian dianjurkan sepanjang bulan ini. Tema ‘Misi Kami: Kesihatan Mulut Yang Sempurna’ dilihat amat tepat untuk membuktikan kaitan penjagaan gigi dan mulut berkaitan langsung dengan kesihatan tubuh badan secara keseluruhannya.

Berusaha beri kesedaran

Sementara itu, kata Hazlin sejak kempen dilancarkan 10 tahun lalu, jenama berkenaan berusaha gigih memberi kesedaran mengenai kepentingan menjaga kesihatan mulut kepada masyarakat negara ini menerusi pemeriksaan percuma pada April setiap tahun.

“Sejak kempen ini diadakan, kami berjaya menarik lebih 500,000 pengunjung menerusi penjelajahan ke seluruh negara, kaunter mini dan klinik gigi yang menyertai kempen ini untuk mengubah cara penjagaan mulut lebih baik. Kempen ini berjaya mencapai matlamat utamanya yang dikongsi bersama MDA dan Kementerian Kesihatan.

“Kerjasama ini menjadikan kempen dilakukan bertambah baik setiap tahun. Fokus utama tahun ini adalah memberi didikan kepada orang ramai mengenai kesihatan mulut yang mempengaruhi kesejahteraan seluruh tubuh badan,” katanya.


INFO

* Pameran bergerak yang dijalankan di seluruh negara, orang ramai berpeluang menyertai pelbagai aktiviti dan mendapatkan pemeriksaan gigi percuma di 805 klinik pergigian ahli MDA sepanjang bulan ini.

* Maklumat lanjut di www.facebook.com/ColgateMY.

* Langkah jaga gigi:
- berus gigi dua kali sehari
- floss gigi
- berkumur dengan pembersih mulut
- periksa gigi enam bulan sekali