KUALA LUMPUR: Penjawat awam yang didapati terbabit dengan kegiatan politik tanpa kebenaran daripada ketua jabatan ataupun berpolitik dalam waktu kerja boleh dikenakan tindakan tatatertib, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sudah mengeluarkan Pekeliling yang membenarkan kumpulan pelaksana iaitu dari Gred 1 hingga Gred 40 terbabit di dalam politik dan mereka perlu mengikut syarat-syarat yang ditetapkan di dalam pekeliling terbabit.
Syarat-syarat tersebut antaranya mesti mendapat kebenaran daripada Ketua Jabatan dan berpolitik selepas waktu pejabat.


"Kalau ada kes (yang melanggar syarat tersebut), kita patut bertindak di atas maklumat yang tepat, tidak boleh bertindak atas dasar orang kata itu, orang kata ini," katanya dalam sesi soal jawab pada perhimpunan khas bersama pemimpin Cuepacs di sini hari ini.

Seorang wakil Kedah mencadangkan agar kerajaan mengambil tindakan segera ke atas penjawat awam yang terlibat secara langsung dalam politik pembangkang kerana ia dilihat sebagai satu pengkhianatan kepada sektor awam. - BERNAMA