Pencapaian terbaik FELDA sejak ditubuh 57 tahun lalu

Kuala Lumpur: Penyenaraian FELDA Global Ventures (FGV) di Bursa Malaysia disifatkan pencapaian terbaik entiti itu khususnya untuk manfaat peneroka, sejak penubuhannya 57 tahun lalu.
Ketua Ahli Ekonomi RAM Holdings Bhd Group, Dr Yeah Kim Leng, berkata walaupun langkah berani kerajaan itu dikecam pelbagai pihak, ia dilihat sesuatu yang meletakkan FELDA di landasan betul.
Keberkesanan FELDA terbukti apabila beberapa negara asing menggunapakai model operasinya terutama untuk pembangunan pertanian, selain diiktiraf Bank Dunia," Yeah Kim Leng, Ketua Ahli Ekonomi RAM Holdings Bhd Group

Sehubungan itu, katanya, tidak ada sebab untuk mana-mana pihak membuat tuntutan yang menggambarkan seolah-olah kerajaan mengabaikan golongan peneroka.

“Sesuatu perubahan atau pembaharuan selalunya sukar diterima walaupun hakikatnya ia mampu menjana ekonomi yang lebih kukuh, sekali gus memberi pulangan dan faedah berpanjangan kepada peneroka.

Diiktiraf Bank Dunia

“Keberkesanan FELDA terbukti apabila beberapa negara asing menggunapakai model operasinya terutama untuk pembangunan pertanian, selain diiktiraf Bank Dunia,” katanya ketika dihubungi BH di sini.
Baru-baru ini, deklarasi perhimpunan KL112 menuntut supaya prestasi, wibawa dan reputasi FELDA diselamatkan demi menjamin kedudukan ekonomi dan pemilikan tanah warga peneroka.

FELDA ditubuhkan untuk melaksanakan projek pembangunan tanah atau kawasan yang dimiliki FELDA dan syarikatnya.

Diberi kuasa mentadbir

Ia juga diberi kuasa mentadbir terutama dalam kegiatan berkaitan pengeluaran, pemprosesan dan pemasaran hasil keluaran pertanian dan ternakan, selain membantu, membimbing, menasihati, mengurus dan menyelaraskan kegiatan sosial penempatan, pertanian, industri dan komersial di kawasan FELDA.

Mulai April 2004, FELDA diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri dan menteri yang bertanggungjawab ke atas FELDA ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak.

Kim Leng berkata, pembabitan dalam Bursa Malaysia adalah pendedahan di peringkat antarabangsa yang membolehkan FELDA berkembang menjadi sebuah syarikat global.

Katanya, FELDA adalah hasil pandangan jauh atau wawasan kerajaan yang berpotensi serta tinggi nilainya, malah penyenaraian di pasaran saham dapat menambah modal pelaburan dan meningkatkan keyakinan pelabur.