Penyokong gelisah Piya 'dipancing' Laman sosial Facebook yang memaparkan gambar Piya mengenai khabar angin beberapa pasukan bersedia untuk 'memancingnya dengan habuan besar. - Foto Muhd Faris Izzudin Zainuldin
Kota Bharu: Walaupun hanya khabar angin ada pasukan lain sanggup berbelanja besar untuk mendapatkan khidmat ketua pasukan Kelantan, Mohd Badhri Radzi musim depan, tetapi ia tetap mengundang keresahan di kalangan penyokong setia The Red Warriors (TRW).

Pengerusi Kelab Penyokong Rasmi Bola Sepak Kelantan, Mohd Yahya Jamada Ali, berkata Mohd Badhri atau Piya dianggap sebagai permata Kelantan dan andai khabar angin itu menjadi kenyataan ia harus menjejaskan kekuatan TRW.
Memang tidak dinafikan semua penyokong TRW masih trauma apabila kehilangan penyerang disayangi musim lalu, Norshahrul Idlan Talaha yang berpindah ke Johor DT dan khabar angin Piya bakal dipancing dengan harga yang tinggi sangat membimbangkan mereka.

Namun, jika khabar angin itu benar, Piya harus memikirkan masa depannya dan nasib beberapa pemain lain yang gagal menyerlah bersama pasukan baru sebelum ini harus dijadikan iktibar, katanya.

KAFA nafi

Perancang utama Kelantan yang diangkat sebagai pemain terbaik final Piala FA 29 Jun lalu dikhabarkan dipancing pasukan lain dengan nilai gaji bulanan mencecah RM100,000 serta bayaran perpindahan bernilai RM3 juta berikutan mempamerkan aksi mantap bersama TRW musim ini.

Namun, ia dinafikan Piya dan Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Datuk Rosmadi Ismail semalam menegaskan mereka belum menerima sebarang tawaran atau surat daripada pasukan lain yang mahu mendapatkan khidmat pemain tengah itu.