Laman Utama » Rencana
Peralihan kuasa biar ketika keadaan stabil
Oleh Razak Rashid Ghows
bhnews@bharian.com.my
2011/04/14
Pemilihan pengganti Ketua Menteri perlu dibuat berhati-hati elak perpecahan dalam parti
ISU tempoh pemerintahan Tan Sri Abdul Taib Mahmud sebagai Ketua Menteri adalah antara perkara dibangkitkan dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-10 yang berlangsung sekarang.
Ini bukan pertama kali pembangkang mempertikaikan tempoh pemerintahan pemimpin Barisan Nasional (BN). Sebelum ini ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri, beliau turut menjadi sasaran pembangkang. Untuk bercakap mengenai orang lain memang senang tetapi apabila terkena batang hidung sendiri, mereka buat-buat terlupa.
Seperti kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Penasihat DAP, Lim Kit Siang berada pada pucuk pimpinan DAP selama 42 tahun, sementara rakannya, Karpal Singh kini berusia 72 tahun.
Selain mereka, Mursyidul Am PAS, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat juga masih terus berpaut pada jawatan politiknya dan terlalu lama menjadi Menteri Besar Kelantan walaupun sepatutnya sudah ada peralihan kuasa.
Mereka juga kelihatan tidak jemu memegang kuasa. Walaupun lanjut usia, masih ramai enggan melepaskan jawatan seperti kata pepatah, ‘mengata dulang paku serpih, mengata orang, dia yang lebih.’
Namun ini memang sifat pembangkang, hanya tahu menjaga tepi kain orang, tetapi keburukan diri tidak nampak.
Presiden Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) yang juga Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr George Chan, baru-baru ini menyelar parti pembangkang kerana tiada pelan peralihan seperti dilakukan parti komponen BN. Sebaliknya, mereka mempertikaikan pelan peralihan yang diumumkan Ketua Menteri Sarawak itu.
Beberapa hari lalu, Perdana Menteri menjelaskan beliau dan Taib sudah mencapai persefahaman siapa menjadi calon pengganti, bagi memastikan peralihan kuasa berjalan lancar.
Sebelum ini pun, Taib sudah menyatakan kesediaannya berundur tetapi ingin mengetuai jentera pilihan raya ini sehingga tiba waktu sesuai bagi penggantinya mengambil alih pada separuh penggal kerajaan baru atau lebih awal.
Soal bila beliau akan menyerahkan kuasa tidak seharusnya menjadi isu. Taib sudah berkali-kali berkata beliau akan berundur, dan hanya masa akan menentukannya.
Pemerhati politik berpendapat, melihat keadaan sekarang, ada kemungkinan Ketua Menteri Sarawak itu akan menyerahkan kuasa kepada pemimpin muda lebih awal berdasarkan kenyataannya di Miri, baru-baru ini.
Pada majlis berkenaan, Taib berkata beliau sudah bercakap dengan Dr George Chan soal peralihan itu akan dibincang sebaik selesai pilihan raya. Kenyataan itu dilihat sebagai petanda peralihan kuasa yang pada mulanya dirancang dua atau tiga tahun selepas pilihan raya mungkin dilakukan lebih cepat daripada dijangkakan.
Dua calon disebut-sebut bakal menjadi pengganti Taib ialah Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Amar Abang Johari Openg dan Naib Presiden Kanan PBB, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Peralihan ini bagaimanapun, tidak perlu dibuat terburu-buru kerana perubahan kepemimpinan pada peringkat kerajaan negeri harus terlebih dulu bermula daripada parti. Ini bermakna apabila ada kekosongan jawatan dalam parti, akan ada pertandingan kecuali pucuk pimpinan mempersetujui formula bagi mengelak perpecahan.
Penganalisis politik, Prof Shamsuddin Abdul Rahman, dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berpendapat hak menentukan pemimpin sebenarnya adalah hak parti.
“Dalam sistem kita, parti yang menerajui kerajaan, oleh itu apa yang berlaku adalah penggantian pemimpin PBB terlebih dulu, sebelum menggantikan Ketua Menteri.
“Selepas pilihan raya, pemimpin parti yang mendapat majoriti akan dilantik sebagai Ketua Menteri. Sebelum Ketua Menteri baru dilantik, beliau perlu mengambil alih sebagai presiden parti terlebih dulu dan konteks ini, jawatan berkenaan adalah Presiden PBB,” katanya.
Perkara itu perlu dikendalikan dengan berhati-hati kerana ada dua calon disebut sebagai bakal pengganti. Salah langkah boleh mengakibatkan perpecahan dalam parti dan ini sudah tentu tidak elok.
“Apabila wujud kekosongan jawatan, pemilihan diadakan dan ada pihak akan menawarkan diri atas alasan menyumbang atau berkhidmat kepada parti.
“Kalau ada pihak berasakan dia patut menjadi pengganti tetapi tidak dapat, susahlah keadaan. Boleh timbul perasaan tidak puas hati dan perpecahan,” kata Prof Shamsuddin.
Justeru, sewajarnya peralihan itu dilakukan ketika keadaan kembali tenang dan stabil selepas pilihan raya, dan tidak secara terburu-buru. Dalam membuat penentuan itu, proses berkenaan sudah tentunya tidak perlu mengikut rentak pembangkang.