Peranan sebagai duta kecil

Peranan sebagai duta kecil

Oleh Magendran Rajagopal dan S Anand Kumar
2012/08/21

Putrajaya: Rakyat Malaysia di luar negara, khususnya pelajar disaran menjadi duta kecil untuk menguar-uarkan keunikan dan kejayaan negara di luar negara.

Pelajar juga digesa menguruskan diri dengan baik dan belajar bersungguh-sungguh dalam usaha membantu negara mencapai kejayaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata Malaysia semakin hari semakin mendapat pengiktirafan di pentas dunia sebagai negara yang berjaya, dan dalam suku kedua tahun ini, ekonomi negara mencapai pertumbuhan 5.4 peratus.

Pencapaian negara dari segi ekonomi dan pembangunan sosial semakin meningkat dan mendapat perhatian dunia. Justeru kita perlu mengenengahkan penampilan yang bersesuaian dengan aspirasi kita mencapai status negara maju berpendapatan tinggi.

Ini bukan saja tanggungjawab kerajaan atau kakitangan kedutaan, tetapi harus dipikul sama oleh rakyat secara umum dan pelajar kita di luar negara, katanya pada sidang video secara serentak dengan perwakilan pelajar dan duta di lima negara di Seri Perdana di sini, kelmarin.

Sesi sidang televideo

Sesi sidang televideo selama 45 minit itu diadakan sempena sambutan Aidilfitri, bersama perwakilan dari Jakarta (Indonesia), Canberra (Australia), London (United Kingdom), Beijing (China) dan Tokyo (Jepun).

Sebelum itu, Najib bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor bersama menteri Kabinet beramah mesra dengan kira-kira 100,000 pengunjung pada majlis rumah terbuka Perdana Menteri dan Kabinet.

Najib percaya dengan pencapaian yang meningkat maju, rakyat akan terus mendapat manfaat manakala kerajaan berupaya menjana hasil tambahan untuk membolehkan negara membiayai lebih ramai pelajar di luar negara.

Pada sidang video sama, Rosmah turut menasihati pelajar Malaysia supaya belajar bersungguh-sungguh dan pulang untuk berkhidmat di Malaysia.

Sebagai seorang ibu, saya meminta anak-anak menelefon ibu bapa memohon maaf dan ampun walaupun tidak dapat pulang untuk menyambut Aidilfitri di Malaysia. Ibu bapa yang terima panggilan akan rasa gembira kerana mereka tahu anak-anak mereka sayang dan hormat mereka, katanya.