Menyaksikan siaran langsung upacara pembukaan Sukan Olimpik 2012 (London 2012) pagi kelmarin tidak ubah seperti menonton pementasan opera epik mengenai sejarah sosial dan budaya Britain dengan Ratu Elizabeth II sebagai pelakon undangannya.
"Negara tuan rumah temasya sukan terbesar dunia itu ambil kesempatan pamer aspek terbaik mereka dalam upacara perasmian”
Mungkin kerana itulah, bentuk persembahan dalam upacara itu dirahsiakan penganjur sehingga ia dipentaskan pagi semalam. Ternyata pementasan upacara l tiga jam berharga 27 juta pound (RM126 juta) diterajui pengarah filem Slumdog Millionaire, Danny Boyle itu, bukan setakat segemilang Beijing 2012 kalau pun tidak mengatasinya, tetapi sarat dengan mesej, hiburan, jenaka, malah propaganda.
Memang semua negara tuan rumah temasya sukan terbesar di dunia itu mengambil kesempatan mempamerkan aspek terbaik negara mereka dalam upacara perasmian.
London 2012 menggunakan kesempatan itu sepenuhnya dengan mempamerkan kehebatan Britain bukan saja sebagai bekas empayar yang bahasanya menjadi lingua franca dunia, tetapi juga sebagai pusat budaya pop yang melahirkan ramai ikon dalam dunia muzik, filem dan sastera.
Dibahagikan kepada tiga segmen – The Green and Pleasant Land, Pandemonium dan Frankie and June Say Thanks to Tim - persembahan menggunakan 7,500 peserta amatur itu memaparkan sejarah awal United Kingdom yang bergantung pada sektor pertanian, transformasi ke era Revolusi Industri dan sumbangan Britain kepada budaya pop.
Yang menjadikan upacara perasmian London 2012 lebih menghiburkan berbanding pembukaan temasya Olimpik sebelum ini ialah kelebihan Britain melahirkan ikon terutama dalam bidang muzik dan filem.
Sebahagian besar muzik latar sepanjang upacara itu adalah retrospektif muzik Pop British termasuk daripada Beatles, Rolling Stones, Bee Gees, Led Zeppelin, The Who, Queen dan David Bowie, manakala kumpulan Dizzee Rascal dan Arctic Monkeys mengadakan persembahan langsung.
Sebaris lagu God Save The Queen versi kumpulan Sex Pistol yang pernah menimbulkan kontroversi satu ketika dulu, turut dimainkan sebelum ketibaan Ratu Elizabeth. James Bond dan Mr Bean turut membuat persembahan, manakala Paul McCartney mengangkhiri upacara dengan lagu Hey Jude.
Kejutan terbesar pastinya kesediaan Ratu Elizabeth menjayakan gimik persembahan upacara itu. Diiringi aktor Daniel Craig atau James Bond, baginda diterbangkan dengan helikopter dari Istana Buckingham sebelum ‘terjun’ menggunakan payung Union Jack ke tengah stadium, diiringi muzik tema 007.
Doyle turut menyelitkan kejayaan Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) Britain, yang menjadi ikutan kebanyakan negara melalui pementasan sastera kanak-kanak, Peter Pan. Padang stadium bertukar menjadi wad Great Ormond Street Hospital yang dibiayai daripada royalti buku karya J M Barrie itu, dengan novelis tersohor siri Harry Potter, J K Rowling, membacakan sedutannya.
Janji Perdana Menteri, David Cameron, negaranya akan mempamerkan kepada dunia the best of Britain sepanjang dua minggu ini, tidak jauh meleset. Ternyata, Sukan Olimpik kini bukan sekadar ‘menyatukan’ seketika warga dunia tetapi turut menentukan kedudukan ekonomi negara tuan rumah.
Jika Beijing 2008 dikatakan menjadi pemangkin kemakmuran ekonomi China dan Athens 2004 didakwa faktor keruntuhan ekonomi Greece, masa depan ekonomi Britain selepas London 2012 yang menelan belanja keseluruhan 9.2 bilion pound ini, amat menarik untuk dilihat nanti.



