header

Perayaan Gawai diraikan lebih awal di Sibu

SIBU: Masih terlalu awal untuk sambutan hari menuai, Pesta Gawai Dayak diraikan, namun perkampungan terpencil masyarakat Iban Kampung Rantau Panjang dekat sini sudah meriah dan sibuk di sana sini.

Sambutan pesta Gawai hanya akan bermula dalam masa dua minggu lagi.

Ketenangan perkampungan, yang terletak kira-kira 30 kilometer (km) dari sini, terusik dengan keriuhan dan kesibukan bukan kerana hendak menyambut pesta Gawai Dayak tetapi berikutan kempen pilihan raya kecil kerusi Parlimen Sibu, esok. Suri rumah yang juga ibu kepada dua anak, Susah Luna, 28, berkata ramai
tetamu berada di kampung itu sejak penamaan calon pada 8 Mei.

"Nampaknya sambutan pesta Gawai Dayak tahun ini diraikan lebih awal. Kampung ini meriah dengan poster-poster parti politik bertanding yang dipamerkan merata tempat," katanya kepada Bernama.

Pada 1 Jun, masyarakat Dayak di Sarawak meraikan pesta Gawai iaitu hari
menuai, satu manifestasi kesyukuran dan harapan untuk hasil tuaian padi yang lebih baik pada tahun-tahun mendatang, dengan pelbagai upacara tradisi.

Seorang lagi suri rumah, Melda Sirel yang berusia 44 tahun berkata para
pemimpin politik, apatah lagi Menteri Persekutuan, jarang-jarang sekali
menjejakkan kaki ke kampung ini.

"Kali ini ternyata berbeza. Ia menjadikan kami merasakan pesta Gawai Dayak seakan sudah semakin hampir," katanya.

Ibu kepada tujuh anak, yang akan mengundi di Sekolah Kebangsaan Rantau
Panjang Ahad ini, berharap Anggota Parlimen Sibu yang baru akan membawa lebih
banyak pembangunan fizikal di kampung itu.

"Saya akan bangun pagi untuk mengundi calon yang saya percaya akan dapat
membawa lebih banyak pembangunan ke kampung ini," katanya.

Di sebalik keghairahannya untuk mengundi, Melda berasa kecewa kerana anaknya yang bekerja di luar Sibu, terpaksa melepaskan peluang mengundi kali ini kerana dia telah melakukan perancangan untuk balik ke kampung bagi menyambut Gawai Dayak pada hujung bulan.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya Sarawak, pengundi yang berada di luar
daerah mewakili kira-kira 10 hingga 15 peratus daripada jumlah keseluruhan
54,695 pengundi berdaftar.

Kebanyakan mereka menghadapi kesulitan untuk pulang ke kampung masing-masing bagi menunaikan tanggungjawab mengundi mereka kerana tarikh pengundian sangat hampir dengan hari Gawai Dayak pada 1 Jun.

Calon DAP bagi pilihan raya kecil ini Wong Ho Leng percaya pengundi-pengundi
di luar Sibu akan menjadi faktor penentu dalam pilihan raya kecil ini.

"Pengundi, khususnya pengundi muda yang bekerja di luar kawasan tidak boleh tidak mesti pulang pada Ahad ini. Mereka yang akan menentukan siapa akan menjadi Anggota Parlimen Sibu kali ini," katanya.

Dalam pertandingan tiga penjuru kali ini, Wong akan berhadapan dengan calon
Barisan Nasional's (BN) Robert Lau Hui Yew, 45, dan Narawi Haron, calon Bebas
bagi pilihan raya kecil yang diadakan berikutan kematian Timbalan Menteri
Pengangkutan Datuk Robert Lau Hoi Chew pada 9 April lalu akibat barah hati. - Bernama

PETUGAS BN mencabut bendera dan poster di Bulatan Brooke, Bandar Sibu selepas pilihan raya kecil Parlimen Sibu berakhir semalam. - Foto Rosdan Wahid
May 17, 2010 9:42 am
CALON Barisan Nasional (BN), Robert Lau Hui Yew mengucapkan tahniah kepada Ahli Parlimen Sibu, Wong Ho Leng selepas beliau diumumkan memenangi kerusi Parlimen Sibu di Dewan Suarah, Sibu. - Foto Aizuddin Saad
May 17, 2010 9:39 am
PEGAWAI Pengurus Pilihan Raya, Wong See Meng (kanan) mengumumkan calon DAP, Wong Ho Leng sebagai Ahli Parlimen Sibu dengan kemenangan majoriti 398 undi pada pilihan raya kecil P.212 Sibu di Pusat Penjumlahan Undi Dewan Suarah, Sibu. - Foto Rosdan Wahid
May 16, 2010 11:43 pm
PETUGAS SPR menyusun peti undi yang sudah dikira di Pusat Penjumlahan Undi Dewan Suarah, Sibu pada pilihan raya kecil P.212 Sibu. - Foto Rosdan Wahid
May 16, 2010 9:42 pm
PETUGAS SPR menjunjung peti undi yang sudah dikira untuk dibawa ke Pusat Penjumlahan Undi Dewan Suarah, Sibu pada pilihan raya kecil P.212 Sibu. - Foto Rosdan Wahid
May 16, 2010 7:09 pm
PETUGAS SPR menjunjung peti undi yang sudah dikira untuk dibawa ke Pusat Penjumlahan Undi Dewan Suarah, Sibu pada pilihan raya kecil P.212 Sibu. - Foto Rosdan Wahid
May 16, 2010 7:07 pm
PENGUNDI Rumah Unjah Anak Besh terpaksa meredah banjir menaiki pacuan empat roda sejauh 3 kilometer menuju ke Pusat Mengundi, SK Tanjung Bekakap, Bawang Assan. - Foto Ghazali Bujang
May 16, 2010 3:25 pm
Subeng Akon, 78, dibantu oleh pegawai SPR, Nurul Farhana Syahaera Johan, 20, yang terpaksa meredah banjir untuk mengundi di Dewan Masyarakat dan Perpustakaan Desa. (Gambar bawah) Pengundi Bawang Assan yang terpaksa meredah banjir untuk mengundi. - Foto Ghazali Bujang
May 16, 2010 3:13 pm
PENGUNDI di Bawang Assan memenuhi halaman pusat mengundi yang Dewan Masyarakat dan Perpustakaan Desa kampung itu yang dilanda banjir. - Foto Ghazali Bujang
May 16, 2010 3:09 pm
PENGUNDI, Kelani Jebum, 44, menunjukkan kertas yang tertera dengan nombor saluran dan kad pengenalan untuk membuang undi pada hari mengundi di SK Bandaran Sibu 3, Sibu. - Foto Aizuddin Saad
May 16, 2010 1:41 pm

Rakaman insiden penebat kilat runtuh

Pautan Berkaitan