Kuala Lumpur: Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, semalam menangguhkan perbicaraan kes pelakon dan penyanyi Beego serta dua rakannya yang dituduh berkhalwat dengan dua wanita di kondominium di Bukit Antarabangsa kepada 19 Mac tahun depan.

Hakim Syarie Shaiful Azli Jamaludin menetapkan tarikh itu selepas peguam syarie, Fakhrul Azman Abu Hassan yang mewakili ketiga-tiga tertuduh memohon tarikh baru bagi membolehkannya mendapatkan beberapa dokumen termasuk laporan polis berhubung kes itu.
Terdahulu, pegawai pendakwa syarie dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Tuan Sarawahidda Tuan Dir memaklumkan representasi tertuduh yang meminta pihak pendakwaan mengkaji dan meneliti semula pertuduhan ditolak Ketua Pendakwaan Syarie Selangor.


Pada 8 Mei lalu, Beego atau nama sebenarnya Md Aszerul Nizam Abdullah, 32, bersama pekerja swasta, Fikry Zainon, 20, dan Mohd Arsli Meor Atan Ahmad, 20, mengaku tidak bersalah atas tuduhan berkhalwat.

Pada prosiding sama, dua kenalan mereka, Azlina Yazit @ Aziz dan Hadijah Mohamad Mokhar masing-masing berusia awal 30-an, mengaku bersalah atas tuduhan itu dan didenda RM3,000. Mereka membayar denda berkenaan.