Perlu patuhi 5K BH Online

Perlu patuhi 5K

Oleh Azrul Affandi Sobry
azr@bharian.com.my
2010/11/14

Lelaki Punjabi harus akur elemen penting keagamaan termasuk tidak potong rambut, bergelang besi dan seluar pendek seperti cawat

PASTINYA etnik ini marah apabila ada individu memanggil mereka sebagai Benggali. Namun, tidak ramai yang tahu sejarah hidup mereka. Sebagai kelompok minoriti berjumlah kira-kira 126,000 orang di seluruh negara, sebenarnya banyak sejarah penting mengenai mereka boleh diketengahkan untuk pengetahuan umum.

Sekali pandang, mereka tidak jauh bezanya dengan orang India lainnya. Sejarah kemasukan mereka ke negara ini lebih menjurus kepada soal keselamatan, bertindak mengawal ketenteraman negara dengan tugas utama lebih bertumpu di balai polis.

Selepas mendekati budaya dan cara hidup masyarakat Sikh di sekitar Ipoh, nyata sekali banyak kekeliruan dan salah faham yang berjaya dirungkai, sekali gus memperlihatkan keunikan kaum Sikh sebagai masyarakat yang sarat dengan budaya serta sejarah tersendiri.

Perkataan Sikh asalnya bahasa Punjabi yang diambil daripada bahasa Sanskrit iaitu Sishya bermaksud pengikut atau penganut.

Di negara kita, majoriti penganut Sikh berketurunan Punjabi, satu masyarakat dari daerah Punjab di utara India yang kini sudah berpecah kepada dua bahagian iaitu di Pakistan dan India.

Namun apa kaitan mereka dengan Benggali? Penghijrahan mereka ke Tanah Melayu ketika itu dengan menaiki kapal dari sebuah pelabuhan di Bangla, India sekali gus semua yang datang dari lokasi itu digelar Benggali.

Hakikatnya, mudah sebenarnya untuk mengenali masyarakat Sikh di negara ini atau di mana negara sekalipun. Wajah orang dari India tetapi mempunyai kulit cerah sedikit berbanding mereka dari selatan India. Paling mudah untuk mengecam mereka ialah melalui identiti pakaian iaitu serban untuk lelaki dan pakaian Punjabi selain selendang di bahu atau sesekali di kepala wanita mereka.

Meskipun kini semakin ramai lelaki Sikh tidak memakai serban tetapi boleh dikatakan majoriti mereka mengenakan tutup kepala itu yang sebenarnya bukan sekadar budaya, sebaliknya salah satu kepercayaan agama yang tidak boleh dilanggar sesiapa saja.

Dalam konteks keagamaan, masyarakat Punjabi yang menganut Sikh ini sebenarnya mempunyai pegangan sangat kuat dan perlu dipatuhi terutama membabitkan lima K iaitu Kes (rambut tidak dipotong), Kirpan (pisau seperti sabit), Kara (gelang besi), Kanga (sikat) dan Kachhera (seluar pendek seperti cawat).

Semua lima perkara itu menjadi kemestian yang perlu dipatuhi dan sentiasa ada di badan masyarakat Sikh. Tidak seorang pun orang Sikh dibenarkan menggunting walau sehelai bulu di badan mahupun di kepala. Jika satu daripada lima perkara itu tidak dipatuhi, penganut Sikh itu boleh dikatakan ‘murtad’ atau terkeluar daripada agamanya.

Meskipun kemasukan orang Punjabi ke Malaysia bermula di Pulau Pinang, kebanyakan perkampungan dan penempatan semula masyarakat itu di sekitar Perak bermula dari Taiping dan kemudian berpusat di Ipoh. Kemunculan banyak balai polis yang mempunyai gurdwara (tempat ibadat) menunjukkan kemunculan mereka turut berkait rapat dengan kerjaya sebagai anggota polis.

Bagi kebanyakan lelaki Sikh, mereka menggunakan hujung nama Singh manakala wanita pula menggunakan Kaur. Ia sebenarnya berkait rapat dengan amalan keagamaan mereka dan tidak semua orang Sikh sebenarnya layak memakai gelaran itu kecuali melalui satu rutin khas yang akan dijelaskan nanti.

“Sikh sama sekali tidak sama dengan Hindu. Punjabi pula tidak ada hubungan langsung dengan Benggali. Benggali adalah satu kaum dari Bengala di India. Masyarakat perlu faham siapa kami dan apa agama kami. Bagi Sikh, Tuhan itu satu,” kata Presiden Khalsa Diwan, Santokh Singh Randhawa.
(Bersambung esok)

Fakta

  • KEBANYAKAN orang Sikh berhijrah ke Tanah Melayu berasal dari lima wilayah di Punjab iaitu Mahja, Malwa, Main Doabia, Doabia dan Potholar Sikh.

  • Sikh berpegang kepada lima elemen utama dalam kehidupan beragama iaitu disiplin Sikh yang bermaksud pelajar, Guru (pengajar), Gurdawara (tempat beribadat yang juga dianggap sebagai pintu kepada guru), Waheguru (nama Tuhan) dan Guru Granth Sahib Ji (kitab suci kaum Sikh yang mengandungi kompilasi tulisan daripada sembilan guru terdahulu).

  • Ipoh menjadi titik tolak perkembangan Sikh di Malaysia terutama dengan penubuhan sebuah pertubuhan kaum Sikh tertua, malah dikhabarkan paling awal di Asia iaitu Khalsa Diwan.